Dapatkah menggasap hidup bahagia
Kadangkala nuraniku menjadi kelam
Namun segala cabaran terus aku teroka
Minda dan nurani berbisik mesra
Di manakah kucari bahagia itu
Bahagia bukan ada di lorong
Bukan juga di mahligai yang baru
Aku masih kabur mencari bahagia
Kereta berjenama, istana indah lambang bahagia
Aku sendiri merisik hatiku nan duka
Terdetik di nurani, bahagia ada di mana-mana
Bahagia bukan objek di pandangan mata
Kebahagiaan melakar di sanubari mulia
Melayari perintah Allah
Menyelusuri dan menghayati ajarannya
Kini, terasa indah bahagia
Suatu anugerah daripada Allah
Begitu syahdu manisnya iman melentur minda
Segalanya aku pasrah kepada Allah yang Esa
Kebahagiaan kerana pengabdian kita
Mensyukuri nikmat islam dan iman
Jangan terlalu alpa mengejar harta dunia
Tawakkal diri melakukan amalan.
Bahagia… Setiap insan yang bernyawa di muka bumi ini inginkan bahagia. Bahagia itu pula tidak mempunyai maksud yang tepat. Ia memberi alasan dan makna yang berbeza bagi setiap individu.
Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan
Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan
Orang bercinta mengatakan bahagia bila bertemu dengan kekasih
Penyanyi mengatakan bahagia bila orang mendengar lagunya dan menyukainya.
Bagi orang-orang sufi pula, bahagia itu ialah apabila mereka berjaya memerangi nafsu, tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan oleh Allah dan berperikemanusiaan.
Kebahagiaan itu sebenarnya bukan sesuatu yang tetap. Kadangkala kita memerlukannya untuk merasa bahagia, kadangkala pula kita berasa rimas dengannya. Seperti baik buruknya sesuatu di alam ini, ia bukan terletak pada zatnya. Tetapi ia bergantung kepada kehendak dan penghargaan manusia ke atasnya. Apalah guna pen emas bagi orang yang tidak pandai menulis, apalah harga Quran bagi seorang athies, apalah harga intan bagi orang gila.
Meskipun bahagia itu tidak diketahui di mana tempatnya, ia masih boleh dicari. Ia perlu di cari dengan akal fikiran yang waras tanpa menggunakan nafsu semata-mata. Akal yang waras dan sihat adalah aset yang penting untuk mendapatkan kebahagiaan yang hakiki dan sejati. Di dalam islam juga menyatakan bahawa kelebihan setiap individu dengan individu yang lainnya adalah berdasarkan akalnya. Ia dinyatakan dengan jelas di dalam sebuah hadith:
Daripada Aisyah r.a, beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Ya Rasulallah, apakah kelebihan antara separuh manusia dengan manusia yang lain?” “Dengan akal”, jawab Rasulullah. “Diakhirat pula?”, Aisyah bertanya lagi. “Dengan akal”. “Bukankah kelebihan manusia itu dari pahala amalnya?” Tanya Aisyah. Rasulullah s.a.w menjawab “Bukankah amal yang mereka laksanakan itu menurut kadar akalnya? Daripada darjat akalnya, sebegitulah ibadat mereka dan daripada amal itu lah pula pahala di berikan”.
Malangnya, ramai di kalangan kita pada hari ini mencari jalan bahagia tanpa menggunakan akal dengan baik. Mereka memilih untuk mengikut nafsu amarah yang meluap-luap untuk mendapatkan kebahagiaan dengan cara yang mudah dan cepat tanpa berfikir panjang. Kesannya, ramai yang kesasaran dan mendapat penyesalan yang tidak dapat dibetulkan semula.
Pendapat daripada kebanyakan cendiakawan pula, ibu kepada bahagia itu adalah daripada sifat Redha. Redha dengan setiap yang telah ditakdirkan untuk kita pada hidup sehari-hari akan mengajar kita erti ketabahan dan kebahagiaan. Bahagia dan bersyukur dengan apa yang ada dan tidak mengeluh dengan kekurangan dan kesusahan yang timbul.
Seperti ungkapan Profesor Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya HAMKA), “orang yang redha dengan sekelilingnya akan berasa gembira dan sukacita. Redha menghilangkan cela dan aib. Lantaran redha telah lekat di hati, kalau ada cela itu, lupa dalam fikiran; kalau ada cacat, cacatnya tidak disedari. Hal itu bukan disebabkan kebodohan atau gila, tetapi sudah dasar redha demikian adanya”.
Pada akhirnya, kebahagiaan itu boleh dirasai oleh sesiapa sahaja. Cuma jalan untuk mendapatkannya adalah berbeza dan tersembunyi penuh misteri. Cara yang terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan yang hakiki adalah dengan kembali kepada fitrah insaniah yang tulen. Di situ, akan tersingkap rahsia kebahagiaan yang diidam-idamkan oleh sesiapa yang menginginkan kebahagiaan itu. Wallahua’lam.
HIDUP BIAR BERJASA!!
No comments:
Post a Comment