Tuesday, September 7, 2010

PENGHAYATAN SYAWAL

Ramadhan telah meninggalkan kita,

Syawal menjelang menandakan hari raya,

Kehidupan biasa bermula semula,

Ramadhan hadapan belum tentu kita jumpa..


Apabila tirai Ramadhan berlabuh, menjelanglah pula Aidilfitri. Begitu hebat sambutannya pada setiap tahun. Semakin bertambah tahun, semakin rancak aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk persediaan raya.


Namun, di mana penghayatan sebenar Aidilfitri?


Jika kita lihat pada hari ini, berbagai ragam dan gaya yang ditampilkan untuk menghidupkan dan memeriahkan suasana hari raya. Ia bukan sahaja dari sudut pemakaian dan pemakanan yang bermacam rupa dan beraneka jenis, tetapi melibatkan juga aktiviti-aktiviti harian masyarakat, rancangan yang disajikan di televisyen dan radio dan bermacam-macam lagi.


Kelangsungan perkara-perkara tersebut yang berlaku secara berlebih-lebihan menyebabkan ramai masyarakat yang lupa tentang erti sebenar Aidilfitri. Bagi anak-anak yang masih kecil pula, fikiran mereka telah dicemarkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah sekali gus membuat mereka buta untuk melihat pengisian yang sebenar dalam menyambut Aidilfitri.


Apakah tujuan kita menyambut Aidilfitri?


Aidilfitri atau panggilan biasanya hari raya merupakan hari kemenangan bagi setiap muslim yang telah berjaya mendidik diri dan nafsunya pada bulan Ramadhan. Hari raya juga merupakan hari untuk kita bersyukur kepada Allah s.w.t dengan sebanyak-banyaknya setelah kita diberi kesempatan dan keizinan untuk beribadah dan hidup sehingga akhir Ramadhan yang di mana di dalam bulan Ramadhan itu terdapat banyak kelebihan dan kenikmatan yang Allah janjikan bagi hambanya yang bertaqwa.


Sayugia selepas mengetahui bahawa hari raya itu adalah untuk orang yang berjaya, maka koreksilah pula diri masing-masing. Layakkah kita pada hari ini untuk menyambut hari raya? Hari raya hanya untuk orang-orang bertaqwa, yang berjaya melepaskan diri mereka dari dibelenggu oleh nafsu sendiri yang lebih cenderung untuk melakukan kejahatan dari kebaikan.


Maka untuk meraikan kemenangan kita, ia adalah dengan banyak mengucapkan syukur, bertakbir, bertasbih dan bertahmid juga memuji Ilahi dengan sebanyak yang mungkin. Di hari ini juga kita bermaaf-maafan antara sesama muslim bagi menyucikan hati dan membina peribadi, membuang sifat dendam dan persengketaan supaya tali persaudaraan sentiasa kukuh.


Tetapi bagaimana sambutan hari raya di kalangan masyarakat kita pada hari ini? Bacaan takbir di masjid-masjid tidak meresap ke dalam sanubari. Takbir yang dilaungkan bukan takbir kemenangan yang dapat dirasakan malah lesu dan tidak bermaya. Ia menunjukkan ketewasan kita untuk melawan nafsu sendiri di bulan Ramadhan. Puasa yang dilakukan tidak dapat mentarbiyyah diri melainkan lapar dan dahaga semata.

Ketewasan itu dapat kita lihat dengan nyata melalui cara kita meraikan hari raya. Pada hari ini, penghayatan terhadap hari raya sangat memilukan. Hari raya telah dinobatkan sebagai hari bergembira, lalu seluruh masyarakat menyambutnya dengan kegembiraan semata. Tiada lagi keinsafan yang dapat dirasakan setelah gagal memenuhi tuntutan Ramadhan yang sebenar.


Masyarakat lebih mementingkan baju raya daripada sembahyang raya. Masyarakat juga ghairah dengan makanan yang lazat-lazat sementelah sebulan tidak menjamah makanan pada siang hari. Anak-anak kecil pula telah dididik untuk mengumpul duit raya. Maka bagi mereka, hari raya adalah hari untuk mengumpul wang dari rumah ke rumah.


Rancangan di televisyen dan radio tidak kurang juga hebatnya. Masing-masing berlumba untuk meraih minat penonton. Namun, penghayatan yang disiarkan hanyalah sekitar kesedihan menunggu anak pulang ke kampung. Yang lainnya hanya untuk memberikan kegembiraan di hari raya dengan lawak-lawak bodoh dan kotor.


Paling menyedihkan apabila televisyen menyiarkan sambutan raya dengan pertandingan nyanyian yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tidak kira tua ataupun muda. Rancangan tersebut bukan sahaja merosakkan penghayatan raya yang sebenarnya, malah menunjukkan masyarakat kini yang sudah hilang rasa malu. Orang-orang tua bergelek di atas pentas lagaknya seperti muda sambil memekakkan telinga daripada panggilan kubur. Manakala yang muda, menghilangkan maruah mereka dengan pakaian-pakaian yang tidak sempurna.


Kita seharusnya sedar bahawa hari raya yang sebenarnya mengingatkan kita kepada fitrah kita yang mulia. Kita sebagai khalifah di muka bumi, harus memakmurkan bumi ini dengan hukum-hukum tuhan. Sudahkah Tuhan dibesarkan di dalam jiwa, fikiran dan di dalam setiap perbuatan kita? Setelah itu, barulah jiwa kita merasai kebahagiaan dan kedamaian dengan rasa tauhid di hati. Bukan dengan kegembiraan dunia yang sementara.


Thursday, August 12, 2010

Muhasabah

Perbandingan antara Ramadhan di zaman kita dengan Ramadhan di zaman para Sahabat Radhiallahu 'anhum.. sangat ketara..

Bila dihayati dan difahami maksudnya, ia sangat bermakna dan menginsafkan. Baagaimana kita sebagai umat akhir zaman telah diberikan peluang yang sama seperti mereka; bulan Ramadhan yang menjanjikan seribu kebajikan dan dilipatgandakan pahala daripada amalan yang baik...

RAMADHAN DUA ZAMAN

Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa diawal zaman

Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman


Mereka gembira kerana kedatangan mu
Kami gembira dengan pemergian mu
Malam mereka meriah disimbah nur al quran
Tp malam kami muram bertemu dengkur

Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

Jelas menunjukkan kelalaian dan kemalasan kita, hingga meninggalkan segala nikmat yang telah Allah janjikan dengan begitu mudah sekali. Mensia-siakan semua ganjaran yang Allah sediakan KHUSUS untuk umat akhir zaman, iaitu KITA.

Bagaimanakah kita ingin merebut tempat yang sama dengan para sahabat sedangkan amal ibadat kita jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan mereka?


Layakkah pula kita untuk mendapatkan syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w sedangkan sunnahnya tidak kita amalkan?

Dibulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama koreksi diri sendiri. Janganlah disibukkan dengan keghairahan hari raya yang bakal menjelang; dengan baju raya baru, kuih raya, lauk-pauk, dan bermacam-macam lagi yang tidak sepatutnya. Sibukkanlah diri kita dengan amal ibadat yang berlipat kaliganda kerana bulan yang baraqah ini tidak selamanya, hanya sebulan dalam setahun. Rebutlah peluang yang datang ini dengan sebaik-baiknya, agar kita tidak merasakan penyesalan yang berpanjangan...

DARI AKAL TURUN KE HATI, JASAD MENJADI BUKTI!! (^_^)

Tuesday, May 25, 2010

Alahai Imam Muda...


Seronok rasanya bila tengok ramainya orang yang datang untuk uji bakat menjadi imam muda. Datang dari seluruh pelusuk negeri. Ada juga yang awalnya berhasrat untuk ke tempat lain namun dibelokkan kakinya ke arah tempat uji bakat setelah dilihatnya banner uji bakat yg tergantung di laluannya. Fenomena ini menunjukkan masih ramai yang hatinya terikat dengan masjid, Alhamdulillah. Walaupun ramainya masih belum setanding dengan peserta uji bakat untuk nyanyian.

Masing-masing begitu bersungguh-sungguh sekali mencuba untuk menjadi yang terbaik. Memejamkan mata untuk mendapatkan 'feel', meminta untuk tidak berhadapan dengan penonton, dan tidak kurang juga yang gugup sehingga terlupa bacaan ayat dalam surah al-Fatihah.

Namun itu tidak menjadi sebarang hal. Yang agak terkilan, apabila melihat sikap beberapa orang peserta uji bakat yang seolah-olah tidak faham apa tujuan sebenar ia datang untuk uji bakat. Bukan kerana keterlupaannya di dalam bacaan surah, bukan kerana kesumbangan tarannum bacaan Quran, bukan kerana kepelatan di dalam membunyikan tajwid huruf dan bukan juga kerana berpakaian sekadar t-shirt dan seluar jeans. Tetapi disebabkan oleh egonya, atau dalam bahasa kasarnya, keangkuhan dan kesombongan dalam ilmu dan kebolehan yang dimiliki.

Datang dengan ilmu yang penuh didada, juga pakaian yang teramatlah smart kerana dia bukanlah calang-calang orang, tetapi berpengalaman tinggi dalam mengimami beratus orang, juga khatam hafazan Qurannya. Dengan penuh yakin melontarkan bacaan dihadapan juri, namun sayangnya 'not accepted'. Tidak menjadi pilihan juri.

Apalah kiranya kita menerima sesuatu keputusan dengan redha... Walaupun hati rasa sakit, namun fikirkan hikmahnya. Bukan dengan meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan cara yang tidak berhikmah. Apabila menentang sesuatu keputusan dengan mengungkit jasa, kebolehan, kehandalan dan pengalaman diri, itu agak tidak rasional dan sudah timbul perasaan ujub dan riyak. Dengan itu, nyata sekali langsung tidak berguna ilmu yang disebut-sebutkan itu.

Bak kata bonda: Kerana itu dia tiada takdir untuknya diterima sebagai calon. Tertolak oleh takabburnya.

Menjadi imam bukanlah sekadar sedap bacaan, bertajwid betul, penuh ilmu di dada dan bijak bercakap di khalayak. Bahkan ia perlu kembali ke asal maksud perkataan tersebut, imam (ketua). Selain mempunyai ciri-ciri tersebut, ia juga perlu menjadi contoh teladan yang baik, akhlak yang baik, yang dapat dikongsikan akhlak tersebut bersama makmumnya... Wallahua'lam...


Apapun, good luck kepada semua peserta Imam Muda yang terpilih. Terutama org Johor.. Hahaha...

Hidup imam muda! Yang veteran pun hidup jugak! peace. (^-*)v

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru...!

Pertama-tamanya, ucapan selamat hari guru kepada guru yang paling awal dalam hidupku, ibu bapaku. Tanpamu sebagai guru utamaku, tidaklah mampu ku kecapi kehidupan yang seperti ini pada hari ini. Sentiasa mendidikku dari seorang roh di dalam rahim ibu sehinggalah ke detik ini. Menjadi idolaku, sumber inspirasiku. Selamat hari guru mak dan abah..!

Seterusnya kepada guru-guru yang menjadi wasilah kesinambungan ilmuku dipupuk. Daripada Sekolah Tadika Yayasan Arqam Tadika Benut, kemudian singgah pula di Sekolah Kebangsaan Benut, disusuli Sekolah Menengah Tinggi Agama Maahad Pontian, diikuti Sekolah Menengah Agama Tinggi Maahad Johor, diselangi oleh MARSAH dan bukan yang terakhir, Universiti Sains Islam Malaysia.

Seterusnya selamat hari guru juga buat semua yang menjadi guruku secara tidak langsung. Termasuk juga sahabat-sahabatku. Tidak ku lupa pesan nabi yang bermaksud; sesiapa saja yang mengajarmu sesuatu walaupun hanya 'alif', maka dia adalah gurumu.

Dengan itu, kutitipkan sajak buat sekalian guruku...


Bisikan Hati Seorang Guru Tua

Di menara gading ini seorang guru tua
Menatang wajah ke awan biru
Melihat sandiwara hidup
Mengolak detik-detik khayalan
Kian terus membara
Penuh pahit
Penuh sengsara
Mencengkam anak-anak nan gagal mencipta
Memusnah membantut kreativiti anak-anak yang kurang bernasib ini
Berpusu-pusu bekerja melata apa saja
Cukup sekadar keperluan pakai, makan dan minum
Bukan apa!
Peningkatan ilmu yang dimamah
Tidak bisa menjadikan mereka selesa.

Di menara gading ini seorang guru tua
Menatang wajah ke awan biru
Mengharungi kepahitan terus-menerus
Tetapi bagi sekian lama pengorbanannya
Berdiri megah, berbaris segak ala tentera anak-anaknya
Bukan apa!

Ilmu di dada cukup sekadar membantu mereka
Mempertahankan agama, bangsa dan negara tercinta.

Di menara gading ini seorang guru tua
Menatang wajah ke awan biru
Kepinginan ia syurga impian dan idaman
Setelah sekian lama membasahi keringat
Muncul lagi anak-anaknya
Berjubah kemas segak
Berjaya melepasi tembok ini.

Terukir senyum kemenangan di wajah tua ini
Menara gagah itu menjadi saksi
Segala penat lelah
Menjernihkan bintik-bintik kejayaan
Menghapuskan ranjau derita
Ruang-ruang kepahitan terhapus sepi.
Kami tetap bersamamu
Jasamu dikenang
Ajaranmu menjadi panduan
Senyumanmu menggembirakan
Cebisan didikanmu menjadi pegangan
Bersemadi hingga akhir hayat.

Thursday, May 13, 2010

PERJALANAN HIDUP MANUSIA

Ketahuilah wahai manusia bahawa hidup di dunia tidak kekal lama bersama nikmat yang sementara.

KEHIDUPAN YANG MESTI MATI, DAN KEBANGKITAN DI HARI AKHIRAT YANG PASTI, JUGA KENIKMATAN SYURGA YANG DINANTI, SEMOGA KEHADIRAN KITA DIRAI, BUKAN DINAFI.
Berbahagialah bagi yang beriman dan sengsaralah bagi yang ingkar. Bersama-samalah kita meningkatkan amalan kita dan menambah bekalan demi menuju Syurga yang diimpi...

Looking for Volunteer..! Sukarelawan Pendakwah..!



Invitation to Volunteer in Islamic Youth Awakening (Sahwah) Campaign

Anda berminat untuk menjadi pendakwah volunteer??

Cara yang paling mudah digunakan untuk berdakwah, hanya menggunakan email anda...!

Target utama bagi kempen dakwah ini adalah bagi golongan remaja.

Anda hanya perlu memforwardkan email yang akan diberikan kepada anda pada setiap minggu kepada seberapa banyak kenalan anda / senarai emel yang anda ada.

Emel yang akan diberikan setiap minggu mengandungi kandungan dakwah Islamiyah yang berbentuk sederhana dan tidak terlalu membebankan fikiran.

Ia sangat sesuai bagi remaja2 yang ingin mendapatkan pemahaman tentang Islam dan juga sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak mengenali agama Islam.

Teks emel adalah berbahasa Inggeris. Sangat sesuai bagi pelajar yang ingin memantapkan bahasa Inggeris mereka.

Penulis emel tersebut adalah: Dr Adel Elsaie, United Kingdom.

Sedikit penerangan tentang penulis:
Beliau adalah seorang jurutera dan mempunyai degree didalam bidang jurutera. Namun disebabkan keprihatinan beliau terhadap remaja dan juga minat yang mendalam untuk menyebarkan dakwah Islamiyah, beliau meninggalkan bidang jurutera tersebut dan mula menceburkan diri di dalam bidang dakwah. Penerangan lanjut boleh merujuk pada website yg disertakan dibawah.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi volunteer, anda hanya perlu menjawab soalan berikut:
  1. Could you commit to this campaign for the sake of Allah? Can I send you email every week, and you send it to all list? Yes or no.

  2. Do you want me to publish your personal information, your name, language, email, and country? Yes or no.

Kemudian, hantarkan jawapan anda ke emel berikut:
Please email us at: "Dr. Adel Elsaie" <
usislamorg@gmail.com> . We welcome any comments or suggestions from you to make this campaign more effective and far reaching. Please write volunteer on the subject of your email.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web ini:
http://www.usislam.org/

Marilah kita menjadi orang2 yg berjaya..
فاؤلئك هم المفلحون
HIDUP BIAR BERJASA..

Thursday, March 25, 2010

RAHSIA SOLAT DI AWAL WAKTU

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Sebagai contoh,
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.
Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan
penawar/rezeki dan komunikasi.
Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.
Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu.


Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zuhur
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Waktu Asar
Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita


Waktu Maghrib
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.
Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di ' kurniakan ' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya .

Sunday, March 21, 2010

Suami...

Terkadang, ada yang bertanya, bagaimana ciri2 suami idamanmu? Si wanita tersenyum sipu. Ingin dinyatakan apakah ciri2 yang diidamkannya, tetapi gusar jika dikatakan terlalu demand, sedangkan dirinya tidak sesempurna mana jika ingin dibandingkan dengan ciri2 yang akan disebutkan. Lalu senyuman itu kekal menjadi jawapan dibibir. Namun dihati, terukir indah ciri2 suami idamannya...


"Suamiku adalah seorang yang pemalu. Malu untuk melakukan perkara yang mungkar dan senang pula melakukan perkara yang ma’ruf. Suamiku adalah seorang yang menepati katanya. Setiap kali dia mengingatkan orang lain, maka dia bersiap pula untuk mengingatkan dirinya sendiri. Selepas itu, dia akan berusaha mengamalkan apa yang telah diserunya agar dia tidak digelar sebagai pendusta, pemberi kata2 kosong pada orang banyak, sedangkan dia sendiri tidak melakukannya. Suamiku seorang yang sangat merendah diri. Ke mana dia pergi, dia akan menundukkan mata dan kepalanya. Dia tidak malu untuk bertanya jika dia tidak mengetahui, dan tidak pula bakhil untuk menyampaikan ilmunya. Suamiku seorang yang penyayang. Tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya, dan tidak juga lupa melunaskan kewajipannya. Ke mana dia pergi, dia akan membawa hati umat bersamanya. Lalu, umat yang lainnya juga amat menyenanginya. Suamiku seorang yang menjaga pergaulannya. Tidak ingin disakiti, apatah lagi untuk menyakiti. Dijaganya adab pergaulan yang berlainan jantinanya. Sesekali bergurau senda, dikawal agar tidak berlebihan, supaya hati tidak leka daripada Tuhan".


Selepas itu, si wanita itu akan lebih tersenyum, sambil bibirnya bergerak menyebut.. "Amin Ya Allah, Amin Ya Allah, Amin Ya Allah..."

Sunday, March 14, 2010

KOMIK ISLAM KEMBALI...



Alhamdulillah...


Baru2 ni datang ke gerai buku yg dibuka di pkp USIM, terjumpa dengan komik ni..

Yang sebenarnya komik ni dh lama di keluarkan, sejak dr thn 2008. Namun, aku yg malang ni br ternampak buku niii..


Bg penggemar komik2 islam, tentu tahu tentang komik2 islamic dolu2 seperti:

ok!, tatih, al-ain dan lain2.


Tapi buku2 tersebut telah dihentikan publishnya disebabkan oleh... politik??

Macam2 hal.. Disebabkan politik, dakwah Islamiyah terkena tempiasnya..


Kalau sesiapa yg pernah terbaca komik2 dulu2 tu, memang sangat menarik contentnya. Contohnya buku ok! tu, kalau dibaca setiap dialog yang tertulis pada setiap gambar, setiap ayat mempunyai makna dan pengajaran yang tersendiri. Memang sangat sayang pada buku tu, dan koleksinya masih ada disimpan hingga sekarang!


Tentang komik Abu Nawas the 2nd ni pula, komik ni masih dalam usaha nak berkembang lagi. Kalau kita tengok, first publishnye pd tahun 2008. Kemudian, sampai sekarang masih ternanti2 untuk kemunculan pencetakan keluaran yang kedua pulak. Menurut orang yg telah aku intebiu secara tak formal dalam gerai buku tu, content utk komik yg kedua tu dh ready, cuma tunggu masa nak publish je. Biasa la, komik Islamic memang ssh nak dpt supplier, ditambah pulak dgn nak jaga sensitiviti sane dan sini sebab kalau silap sikit, nanti dihentikan lg publish utk komik ni mcm komik2 yg lps...


Sedih btl. kalaulah tiba2 aku dpt jd jutawan, aku nk jd org first yg jd supplier utk komik2 mcm ni. Sedih bila nk compare komik Islamiyah dengan komik2 lain yg xde benefit lgsung tu. Komik lain tu sng je nk jmpa di pasaran, sdgkn komik islamiyah terletak kt ceruk2 kedai je. Terkilan sungguh!


Dengan seruan 'hayya 'alal falah', aku nak menyeru pada siapa2 yg mampu, blh la meningkatkan kualiti komik Islamiyah kita. Sebab la ni kita tgk, komik menjadi bahan yg sangat menarik dan merangsang bdk2 kecik, malah kita pn masih suka utk baca bahan2 komik mcm ni sebab dia mmg best. Jadi, drpd bdk2 kecik tu x dapat apa2 faedah bila membaca komik2 skrg ni kecuali humor dan lawak bodoh, baik kita mengajar dan meransang diorang dengan ilmu2 bermanfaat. Mudah2an generasi akan datang menjadi generasi yang lebih berilmu dan mampu menegakkan hukum Islam di muka bumi ini.. Takbir...Allahuakbar!!

Allahu yuwaffiquna...