Saturday, February 13, 2016

LUQMAN AL-HAKIM

Luqman al-Hakim, nama seorang hamba Allah s.w.t yang sering menjadi sebutan dari bibir ke bibir. Kebijaksanaannya sebagai seorang ayah membimbing anaknya menjadi pedoman kepada semua manusia sehinga Allah s.w.t mencantumkan namanya dalam al-Quran – surah Luqman (QS 31)

Dahulu kala, ada seorang raja yang bercita-cita ingin memahami semua bahasa binatang dari yang paling kecil hinggalah kepada yang paling besar – dari sekecil semut hinggalah sebesar gajah.

Pada suatu ketika, raja itu mendapat ilham untuk bertafakur di dalam laut. Baginda kemudian membina bilik kecil dari kaca berbentuk empat segi. Di bahagian atasnya ditebuk lubang supaya udara dapat masuk.

Setelah selesai membuat bilik kecil itu, baginda masuk kedalamnya lalu dibawa ke laut. Bilik itu dibenamkan ke dalam laut, hanya tinggal corong angin saja pada permukaan laut.

Di atas corong itu diletak sebuah loceng. Bila baginda menarik tali loceng, bunyi loceng itu menandakan bahawa bilik itu perlu dinaikkan, bermakna tafakur baginda sudah selesai.

Demi memenuhi cita-citanya, baginda tidak makan dan minum. Pada suatu ketika, raja berasa seram kerana dari luar bilik dilihatnya tangan manusia tetapi baginda tidak nampak badannya. Tangan itu masuk ke dalam tanpa setitik air pun membasahi bilik kaca itu.

Baginda juga mendengar suara mengatakan, “Ambilah ini dan buatlah makanan dan makanlah, nescaya apa hajatmu akan berhasil”.

Raja bersyukur, gembira serta berterima kasih atas pemberian itu, yakni sebuah bungkusan yang berisi tepung. Sekelip mata, tangan itupun lenyap.

Setelah kembali di istana, baginda menyuruh tukang masaknya membuat roti daripada tepung itu dan baginda tidak berpesan apa-apa lagi.

Setelah tukang masak mendapat perintah, maka disegerakan tugas itu. Setelah roti selesai dimasaknya, lalu diletakkannya di dalam almari makan, sementara menunggu untuk dihidangkan apabila raja itu mahu bersantap.

Tukang masak itu mempunyai seorang anak lelaki bernama Luqman. Anak ini cerdas akalnya dan pandai menulis. Ketika tengahari, Luqman pulang dan merasa lapar. Ketika membuka almari, dia melihat roti yang baru dimasak. Tidak ada makanan lain dalam almari itu. Tanpa berfikir panjang dan kerana terlalu lapar, Luqman memakan roti itu sampai habis, sedikit pun tidak tersisa.

Setelah tukang masak itu memeriksa almari makanan itu, didapati roti yang sudah dimasaknya itu telah tiada. Dia begitu cemas dan takut lalu bertanya kepada Luqman.

Siapakah yang memakan roti itu? Tanyanya.

Terus terang Luqman menjawab, dialah yang memakan roti itu. Tanpa berkata apa-apa, tukang masak itu memasak roti baru untuk dihidangkan kepada raja.

Setelah tiba waktu makan malam, tukang masak itu menghidangkan roti itu. Dengan senang hati baginda mengucapkan terima kasih kepada tukang masak itu. Tidak salah lagi dalam fikirannya, pada malam itu baginda akan dapat memahami bahasa binatang sebagaimana Nabi Sulaiman a.s.

Tukang masak tidak memberitahu kepada baginda bahawa roti yang dimakannya itu bukanlah daripada tepung yang diberikannya.

Setelah selesai makan, baginda pergi ke kandang kuda. Pada fikirannya, pada hari itu, sudah pasti baginda akan dapat memahami bahasa kuda. Setelah sampai ke kandang kuda, baginda hairan dan terpinga-pinga. Baginda masih tidak dapat mengerti bahasa kuda.

Apakah tangan yang memberi tepung kepadanya ketika brtafakur di dasar laut itu berbohong? Tidak mungkin. Baginda pergi pula ke kandang kambing, namun baginda masih tidak memahami bahasa kambing.

Kemudian baginda memanggil tukang masak dan bertanya mengenai tepung itu. Dengan terus terang tukang masak memberitahu bahawa roti yang dibuat daripada tepung yang diberikan baginda telah dimakan oleh anaknya.

Baginda tidak murka, sebaliknya berfikir. Ia bukan salah tukang masak itu. Baginda berasa dirinya yang bersalah kerana tidak berpesan apa-apa kepada tukang masak itu.

Pada fikiran baginda, usahanya itu tidak sia-sia kerana ada seorang anak dari keluarga istana dapat memiliki ilmu itu. Berikutan itu, baginda begitu sayang kepada Luqman dan berharap Luqman akan menjadi anak yang berguna.

Sejak kecil hingga remaja, Luqman menempuh pelbagai pengalaman yang berharga. Selain dari binatang-binatang yang dicatat berkhasiat untuk ubat-ubatan, pelbagai tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat tertentu untuk perubatan.

Demikian sejarah ringkas Luqman, yang kemudiannya mendapat gelaran al-Hakim. Namanya terkenal sehingga ke hari ini sebagai manusia yang bijaksana dan disebut di dalam al-Quran sebagai seorang bapa yang bijaksana dalam mendidik anak-anaknya.

Surah Luqman ayat 13-19 yang bermaksud:
‘Dan ingatlah … tatkala Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu ia memberi nasihat kepadanya: wahai anakku, janganlah sekali-kali engkau mempersekutukan Allah s.w.t (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar’.

‘Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya dalam masa 2 tahun; bersyukurlah kepada Tuhan ke atas kedua-dua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali.

‘Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihat engkau – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu. Kemudian, kepada Akulah tempat kembali kamu sekalian, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan’.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata):
‘Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada suatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan di bawa oleh Allah s.w.t (untuk dibicarakan dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah s.w.t amat halus pengetahuanNya, lagi amat meliputi dan lagi amat tersembunyi’.

‘Wahai anakku, dirikan solat, dan suruhlah (manusia) berbuat kebajikan, serta laranglah mereka melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya’.

‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana engkau memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan d bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah s.w.t tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan takbur, lagi membangga diri’.

‘Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkan suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai’.[1]