Monday, June 30, 2008

KENAPA KITA DILAHIRKAN DI DUNIA?



Sedar2 saja, kita sudah dilahirkan ke dunia. Tiada siapa yang pernah meminta agar ia lahir kedunia. Dengan erti kata lain, tiada siapa dari kita yang terlebih dahulu yang merancang untuk datang sebelum ia didatangkan ke dunia.

Jadi, kita datang ke dunia tanpa tahu tujuan dan matlamat sebenarnya. Kita datang tanpa rancangan dan kemahuan terlebih dahulu, dan kita tidak tahu mengapa kita dilahirkan sebagai perempuan dan bukan lelaki atau sebaliknya.

Siapa yang merancang dan berkehendak untuk mendatangkan kita ke dunia ini? Apakah maksud Allah s.w.t mendatangkan kita ke dunia ini?

Hampir setiap orang bertanyakan soalan ini kepada akal dan hatinya, dan berbagai-bagailah jawapan yang diperoleh mereka, yang setiap seorangnya mempunyai jawapan yang berbeza. Hasil dari jawapan itu, maka hiduplah manusia ini dengan cara dan gaya masing-masing, mengikut jawapan yang diberikan oleh diri masing-masing.

Saksikanlah manusia yang mengisi berbagai-bagai ragam di dalam hidup mereka. Ada yang hidup untuk menuntut ilmu, mengkaji dan berfikir. Sepanjang hidupnya dihabiskan untuk menuntut ilmu, dari sebesar-besar benda hinggalah sekecil-kecilnya mereka meneliti dan mengkaji. Maka, berbagai-bagailah rahsia dunia tercungkil olehnya, seiring dengan botak kepalanya dan beruban rambutnya. Akhirnya, ia mati dengan meninggalkan segala ilmu itu…

Golongan lain pula hidup untuk harta dan kekayaan. Berburulah ia kemana sahaja di sudut-sudut dunia, untuk mencari harta, mendapatkannya dan menimbunnya setinggi yang boleh. Jadual dan program harian mereka, sepenuhnya disediakan untuk mencari harta hingga tiada masa untuk tujuan-tujuan yang lain. Akhirnya, mereka mati meninggalkan semua harta itu.

Ada juga yang hidup untuk nama dan kemasyhuran. Berjuanglah ia siang dan malam untuk menaikkan namanya agar terkenal dan disanjung. Sangguplah ia menipu dan menindas semata-mata untuk masyhur dan terkenal. Akhirnya, mereka mati dengan meninggalkan segala pujian dan sanjungan.

Terdapat juga orang yang hidupnya setakat makan, pakai, tidur, kahwin dan beranak pinak. Usaha-usahanya hanya untuk mendapatkan keperluan itu hinggalah matinya tanpa apa-apa erti.

Demikianlah manusia menjawab soalan-soalan apa tujuan hidup. Jawapan yang diberikan oleh akal dan nafsunya, lalu dilaksanakan oleh anggota lahirnya. Kita sebenarnya tidak tahu apakah hidup ini dan bagaimanakah untuk melaksanakan hidup ini. Yang mengetahui sebenarnya tujuan hidup ini agar selamat di dunia dan akhirat ialah Allah s.w.t.

Kita bertanya “Ya Allah, kenapa Engkau hidupkan dan datangkan aku ke dunia ini?” maka turunlah wahyu kepada Nabi s.a.w, memberitahu manusia mengapa mereka dihidupkan.

Pertama, firmannya yang bermaksud: "tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku semata-mata" (Az-Zariyat:56)

Yang ke dua, firmannya yang bermaksud: "sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur, yang Kami hendak mengujinya, (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat" (Ad-Dahru:2)


Sunday, June 29, 2008

TEMPAHAN BUKU


TEMPAHAN BUKU SECARA ONLINE!!

Mudah, Cepat, Terjamin dan Berpatutan..

Sila layari laman web berikut:

www.ujanailmu.com.my

Sebarang komen anda boleh dihantar ke alamat:
webmaster@ujanailmu.com.my

Saturday, June 28, 2008

SIMFONI BAHAGIA


Adakalanya daku berasa bimbang

Dapatkah menggasap hidup bahagia

Kadangkala nuraniku menjadi kelam

Namun segala cabaran terus aku teroka

Minda dan nurani berbisik mesra

Di manakah kucari bahagia itu

Bahagia bukan ada di lorong kota

Bukan juga di mahligai yang baru

Aku masih kabur mencari bahagia

Kereta berjenama, istana indah lambang bahagia

Aku sendiri merisik hatiku nan duka

Terdetik di nurani, bahagia ada di mana-mana

Bahagia bukan objek di pandangan mata

Kebahagiaan melakar di sanubari mulia

Melayari perintah Allah

Menyelusuri dan menghayati ajarannya

Kini, terasa indah bahagia

Suatu anugerah daripada Allah

Begitu syahdu manisnya iman melentur minda

Segalanya aku pasrah kepada Allah yang Esa

Kebahagiaan kerana pengabdian kita

Mensyukuri nikmat islam dan iman

Jangan terlalu alpa mengejar harta dunia

Tawakkal diri melakukan amalan.

Bahagia… Setiap insan yang bernyawa di muka bumi ini inginkan bahagia. Bahagia itu pula tidak mempunyai maksud yang tepat. Ia memberi alasan dan makna yang berbeza bagi setiap individu.

Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan

Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan

Orang bercinta mengatakan bahagia bila bertemu dengan kekasih

Penyanyi mengatakan bahagia bila orang mendengar lagunya dan menyukainya.

Bagi orang-orang sufi pula, bahagia itu ialah apabila mereka berjaya memerangi nafsu, tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan oleh Allah dan berperikemanusiaan.

Kebahagiaan itu sebenarnya bukan sesuatu yang tetap. Kadangkala kita memerlukannya untuk merasa bahagia, kadangkala pula kita berasa rimas dengannya. Seperti baik buruknya sesuatu di alam ini, ia bukan terletak pada zatnya. Tetapi ia bergantung kepada kehendak dan penghargaan manusia ke atasnya. Apalah guna pen emas bagi orang yang tidak pandai menulis, apalah harga Quran bagi seorang athies, apalah harga intan bagi orang gila.

Meskipun bahagia itu tidak diketahui di mana tempatnya, ia masih boleh dicari. Ia perlu di cari dengan akal fikiran yang waras tanpa menggunakan nafsu semata-mata. Akal yang waras dan sihat adalah aset yang penting untuk mendapatkan kebahagiaan yang hakiki dan sejati. Di dalam islam juga menyatakan bahawa kelebihan setiap individu dengan individu yang lainnya adalah berdasarkan akalnya. Ia dinyatakan dengan jelas di dalam sebuah hadith:

Daripada Aisyah r.a, beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w “Ya Rasulallah, apakah kelebihan antara separuh manusia dengan manusia yang lain?” “Dengan akal”, jawab Rasulullah. “Diakhirat pula?”, Aisyah bertanya lagi. “Dengan akal”. “Bukankah kelebihan manusia itu dari pahala amalnya?” Tanya Aisyah. Rasulullah s.a.w menjawab “Bukankah amal yang mereka laksanakan itu menurut kadar akalnya? Daripada darjat akalnya, sebegitulah ibadat mereka dan daripada amal itu lah pula pahala di berikan”.

Malangnya, ramai di kalangan kita pada hari ini mencari jalan bahagia tanpa menggunakan akal dengan baik. Mereka memilih untuk mengikut nafsu amarah yang meluap-luap untuk mendapatkan kebahagiaan dengan cara yang mudah dan cepat tanpa berfikir panjang. Kesannya, ramai yang kesasaran dan mendapat penyesalan yang tidak dapat dibetulkan semula.

Pendapat daripada kebanyakan cendiakawan pula, ibu kepada bahagia itu adalah daripada sifat Redha. Redha dengan setiap yang telah ditakdirkan untuk kita pada hidup sehari-hari akan mengajar kita erti ketabahan dan kebahagiaan. Bahagia dan bersyukur dengan apa yang ada dan tidak mengeluh dengan kekurangan dan kesusahan yang timbul.

Seperti ungkapan Profesor Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya HAMKA), “orang yang redha dengan sekelilingnya akan berasa gembira dan sukacita. Redha menghilangkan cela dan aib. Lantaran redha telah lekat di hati, kalau ada cela itu, lupa dalam fikiran; kalau ada cacat, cacatnya tidak disedari. Hal itu bukan disebabkan kebodohan atau gila, tetapi sudah dasar redha demikian adanya”.

Pada akhirnya, kebahagiaan itu boleh dirasai oleh sesiapa sahaja. Cuma jalan untuk mendapatkannya adalah berbeza dan tersembunyi penuh misteri. Cara yang terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan yang hakiki adalah dengan kembali kepada fitrah insaniah yang tulen. Di situ, akan tersingkap rahsia kebahagiaan yang diidam-idamkan oleh sesiapa yang menginginkan kebahagiaan itu. Wallahua’lam.

HIDUP BIAR BERJASA!!

TEBARKANLAH SALAM…


Salam adalah salah satu daripada kebiasaan orang melayu atau khususnya orang islam yang telah diabaikan. Kebanyakan dikalangan kita pada hari ini lebih suka menggunakan perkataan seperti hai, hello, dan sebagainya tatkala bertemu di sesuatu tempat atau ketika bertalifon.

Ke manakah hilangnya ucapan murni itu? Padahal terang-terangan sahabat yang kita tegur dan sapa itu adalah satu agama dengan kita. Malahan ia adalah sunnah yang amat digalakkan pada zaman Rasulullah s.a.w.

Maksud ungkapan salam (Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh) juga membawa makna yang baik iaitu mendoakan keselamatan dan kesejahteraan pada orang yang diucapkan. Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w juga amat gemar memberi dan menjawab salam sesama mereka sebagai tanda menyayangi dan mendoakan sahabat mereka itu. Seperti suatu kisah di zaman Nabi s.a.w telah diceritakan bahawa, pada suatu hari, Rasulullah s.a.w sedang berjalan dan bertemu dengan sahabat baginda. Maka seperti biasa, Rasulullah akan memulakan teguran dengan memberi salam kepada sahabat baginda itu. Namun, setelah memberi salam, sahabat baginda tidak menjawab salam itu. Kemudian Nabi s.a.w memberi salam sekali lagi namun tetap tiada jawapan dari sahabatnya itu. Selepas kali ke tiga Nabi s.a.w memberi salam, barulah sahabatnya itu menjawab salam tersebut. Kemudian Nabi s.a.w bertanya ‘mengapa selepas kali ketiga aku mengucapkan salam baru kau menjawabnya?’ ‘Aku sengaja berbuat begitu supaya engkau memberi salam (mendoakanku) banyak kali’ jawab sahabatnya sambil tersenyum dan memeluk baginda.

Tebarkanlah salam antara kita

Walau di mana sahaja

Walau siapa jua

Walau siapa sahaja

Walau di mana jua

Di masa kini

Ramai umat islam

Mengucapkan salam

Hidup aman bahagia

Inilah syurga dunia

Mengapa rasa malu

Untuk mengucapkan salam

Adakah cara yang lain

Lebih baik darinya

Oleh itu yakinlah kita

Salam yang lebih utama

Mengapa sebagai umat islam, kita berat untuk mengucapkan salam? Padahal memberi dan menjawab salam orang yang bukan muslim juga adalah di haruskan dan ada yang mengatakan bahawa ia wajib jika bertujuan untuk menjaga kemaslahatan sesama kaum dan agama.

Islam itu indah. Ia akan lebih dipandang mulia jika penganutnya bijak dan hidup saling berkasih sayang. Malangnya, Islam itu telah dihodohkan rupa parasnya bukan sahaja oleh penentang, bahkan penganutnya sendiri. Maka, tugas kitalah untuk mengindahkannya kembali dengan menunjukkan sifat muslim sebenar iaitu sangat menghormati dan mengasihi orang lain walaupun berbeza agama. Wallahua’lam bissawab.

HIDUP BIAR BERJASA!!

Adab ziarah

MUNGKIR JANJI


Saya sebenarnya agak tertarik dengan artikel yang dimuatkan di dalam Mastika yang saya sendiri tak berapa pasti keluaran yang keberapa dan pada tahun bila. Yang pasti, intipatinya telah menambat hati saya dan ingin saya kongsikan pada mereka yang tak berkesempatan membacanya. Isinya lebih kurang begini…

‘Sungguh sakitnya hati bila janji dimungkiri. Bayangkanlah jika anda telah membuat temu janji dengan seseorang, ataupun yang paling mudah kekasih anda sendiri. Anda telah menetapkan waktunya iaitu pada hari dan waktu yang sekian dan sekian. Janji pun termeterai. Maka pada hari yang ditetapkan, anda datang pada waktu yang telah dijanjikan. Alangkah malangnya, orang yang ditemu janji masih tidak kunjung tiba. Anda masih boleh menunggu. Maka anda menunggu dengan hati yang penuh sabar. Dari 5 minit ke 10 minit, dari 10 minit ke setengah jam, kemudian hingga ke satu jam. Anda mula naik berang. Dalam hati mula menyumpah-nyumpah. Dan anda tetap menanti kerana anda sangat merinduinya atau anda mempunyai urusan penting dengannya atau anda ingin memberi sesuatu kepadanya. Dengan itu anda sanggup menahan rasa marah dan memilih untuk terus menanti hingga orang yang dijanjikan tiba. Masa pun berlalu dari 2 jam membawa kepada 3 hingga 4 jam. Akhirnya kemampuan anda untuk menunggu pun tamat. Anda pun berlalu pulang dengan beribu perasaan yang bercampur baur. Perasaan kesal, marah, sakit hati, benci, sedih dan sebagainya…’

Perkara ini diumpamakan dengan kehidupan dan kewajipan kita seharian. Semasa di alam roh, kita sudah bertemu janji dengan Tuan kita bahawa kita akan berjumpa denganNya 5 waktu pada setiap hari iaitu pada waktu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Malangnya, apabila kita sudah lahir ke dunia, kita memungkiri janji tersebut. Pada waktu subuh menjelang, kita sedang lena di buai mimpi. Tuan kita menanti kita dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kerana dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita lebih selesa untuk menyambung tidur yang enak dari menyambut seruan Tuan kita. Tuan kita tetap menanti kehadiran hamba-hambanya walaupun waktu terlalu lewat kerana Dia sangat merindui kita dan ingin mendengar rintihan kita kepadaNya. Dia ingin sekali memberi dan memakbulkan segala permintaan hambanya. Namun, alangkah kecewanya kerana sehingga habis waktu subuh kita masih lalai dan lupa dengan temu janji yang telah dibuat. Tibalah pula waktu Zohor. Tuan yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani kembali menanti hamba-hambanya. Dia ingin mengampunkan kesilapan hambanya yang lepas dan menerima taubat jika hambanya itu meminta maaf padanya. Namun, hamba yang tidak sedar diri terus kekal leka. Padahal, Tuan yang baik hati itu menunggu dan terus menunggu…

Di manakah kita? Adakah kita diantara orang-orang yang memungkiri janji? Sedarkah kita dengan siapa yang kita khianati itu? Wajarkah kita mengkhianati janji Dia yang tidak pernah melupakan kita? Dia yang sentiasa mengingati kita dan memberi segala nikmat di dunia untuk kesenangan dan kebahagiaan kita; yang memberi kesusahan sebagai rencah asam garam dalam hidup agar kita tak bosan dengan kehidupn yang pendek ini, agar tidak lupa kepadanya, agar kita merintih dihadapannya dengan penuh pengharapan…