Saturday, February 13, 2016

LUQMAN AL-HAKIM

Luqman al-Hakim, nama seorang hamba Allah s.w.t yang sering menjadi sebutan dari bibir ke bibir. Kebijaksanaannya sebagai seorang ayah membimbing anaknya menjadi pedoman kepada semua manusia sehinga Allah s.w.t mencantumkan namanya dalam al-Quran – surah Luqman (QS 31)

Dahulu kala, ada seorang raja yang bercita-cita ingin memahami semua bahasa binatang dari yang paling kecil hinggalah kepada yang paling besar – dari sekecil semut hinggalah sebesar gajah.

Pada suatu ketika, raja itu mendapat ilham untuk bertafakur di dalam laut. Baginda kemudian membina bilik kecil dari kaca berbentuk empat segi. Di bahagian atasnya ditebuk lubang supaya udara dapat masuk.

Setelah selesai membuat bilik kecil itu, baginda masuk kedalamnya lalu dibawa ke laut. Bilik itu dibenamkan ke dalam laut, hanya tinggal corong angin saja pada permukaan laut.

Di atas corong itu diletak sebuah loceng. Bila baginda menarik tali loceng, bunyi loceng itu menandakan bahawa bilik itu perlu dinaikkan, bermakna tafakur baginda sudah selesai.

Demi memenuhi cita-citanya, baginda tidak makan dan minum. Pada suatu ketika, raja berasa seram kerana dari luar bilik dilihatnya tangan manusia tetapi baginda tidak nampak badannya. Tangan itu masuk ke dalam tanpa setitik air pun membasahi bilik kaca itu.

Baginda juga mendengar suara mengatakan, “Ambilah ini dan buatlah makanan dan makanlah, nescaya apa hajatmu akan berhasil”.

Raja bersyukur, gembira serta berterima kasih atas pemberian itu, yakni sebuah bungkusan yang berisi tepung. Sekelip mata, tangan itupun lenyap.

Setelah kembali di istana, baginda menyuruh tukang masaknya membuat roti daripada tepung itu dan baginda tidak berpesan apa-apa lagi.

Setelah tukang masak mendapat perintah, maka disegerakan tugas itu. Setelah roti selesai dimasaknya, lalu diletakkannya di dalam almari makan, sementara menunggu untuk dihidangkan apabila raja itu mahu bersantap.

Tukang masak itu mempunyai seorang anak lelaki bernama Luqman. Anak ini cerdas akalnya dan pandai menulis. Ketika tengahari, Luqman pulang dan merasa lapar. Ketika membuka almari, dia melihat roti yang baru dimasak. Tidak ada makanan lain dalam almari itu. Tanpa berfikir panjang dan kerana terlalu lapar, Luqman memakan roti itu sampai habis, sedikit pun tidak tersisa.

Setelah tukang masak itu memeriksa almari makanan itu, didapati roti yang sudah dimasaknya itu telah tiada. Dia begitu cemas dan takut lalu bertanya kepada Luqman.

Siapakah yang memakan roti itu? Tanyanya.

Terus terang Luqman menjawab, dialah yang memakan roti itu. Tanpa berkata apa-apa, tukang masak itu memasak roti baru untuk dihidangkan kepada raja.

Setelah tiba waktu makan malam, tukang masak itu menghidangkan roti itu. Dengan senang hati baginda mengucapkan terima kasih kepada tukang masak itu. Tidak salah lagi dalam fikirannya, pada malam itu baginda akan dapat memahami bahasa binatang sebagaimana Nabi Sulaiman a.s.

Tukang masak tidak memberitahu kepada baginda bahawa roti yang dimakannya itu bukanlah daripada tepung yang diberikannya.

Setelah selesai makan, baginda pergi ke kandang kuda. Pada fikirannya, pada hari itu, sudah pasti baginda akan dapat memahami bahasa kuda. Setelah sampai ke kandang kuda, baginda hairan dan terpinga-pinga. Baginda masih tidak dapat mengerti bahasa kuda.

Apakah tangan yang memberi tepung kepadanya ketika brtafakur di dasar laut itu berbohong? Tidak mungkin. Baginda pergi pula ke kandang kambing, namun baginda masih tidak memahami bahasa kambing.

Kemudian baginda memanggil tukang masak dan bertanya mengenai tepung itu. Dengan terus terang tukang masak memberitahu bahawa roti yang dibuat daripada tepung yang diberikan baginda telah dimakan oleh anaknya.

Baginda tidak murka, sebaliknya berfikir. Ia bukan salah tukang masak itu. Baginda berasa dirinya yang bersalah kerana tidak berpesan apa-apa kepada tukang masak itu.

Pada fikiran baginda, usahanya itu tidak sia-sia kerana ada seorang anak dari keluarga istana dapat memiliki ilmu itu. Berikutan itu, baginda begitu sayang kepada Luqman dan berharap Luqman akan menjadi anak yang berguna.

Sejak kecil hingga remaja, Luqman menempuh pelbagai pengalaman yang berharga. Selain dari binatang-binatang yang dicatat berkhasiat untuk ubat-ubatan, pelbagai tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat tertentu untuk perubatan.

Demikian sejarah ringkas Luqman, yang kemudiannya mendapat gelaran al-Hakim. Namanya terkenal sehingga ke hari ini sebagai manusia yang bijaksana dan disebut di dalam al-Quran sebagai seorang bapa yang bijaksana dalam mendidik anak-anaknya.

Surah Luqman ayat 13-19 yang bermaksud:
‘Dan ingatlah … tatkala Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu ia memberi nasihat kepadanya: wahai anakku, janganlah sekali-kali engkau mempersekutukan Allah s.w.t (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar’.

‘Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya dalam masa 2 tahun; bersyukurlah kepada Tuhan ke atas kedua-dua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali.

‘Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihat engkau – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu. Kemudian, kepada Akulah tempat kembali kamu sekalian, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan’.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata):
‘Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada suatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan di bawa oleh Allah s.w.t (untuk dibicarakan dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah s.w.t amat halus pengetahuanNya, lagi amat meliputi dan lagi amat tersembunyi’.

‘Wahai anakku, dirikan solat, dan suruhlah (manusia) berbuat kebajikan, serta laranglah mereka melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya’.

‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana engkau memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan d bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah s.w.t tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan takbur, lagi membangga diri’.

‘Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkan suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai’.[1]

Monday, January 11, 2016

Seandainya....

Seandainya...

Kita rindukan Rasulullah,
Tentu seringkali hati dan fikiran kita berlayar kepadanya.

Seandainya...

Benar kita cintakan Rasulullah,
Tentu tingkahlaku kita tidak lepas dari sunnahnya.
Tentu lidah tidak kering dari selawat ke atasnya.

Seandainya...

Rasulullah bersama kita............

Bayangkan seandainya  Rasulullah SAW tiba-tiba mengetuk  pintu rumah kita...
Baginda datang dgn wajah tersenyum dan muka bersih di muka pintu rumah kita. 

Apa yang kita akan lakukan?
Mestinya kita akan sangat berbahagia, memeluk baginda erat-erat, lantas mempersilakan baginda masuk rumah kita. 
Kemudian kita tentunya akan meminta  dengan sangat agar baginda sudi menginap beberapa hari di rumah kita. 

Baginda tentu tersenyum...

Tapi..... 

Barang kali kita minta kepada Rasulullah SAW untuk menunggu sebentar di depan pintu. Tatkala itu, kita teringatkan VCD rated 18+ yang ada di ruangan televisyen dan kita tergesa-gesa memindahkan dahulu video tersebut ke dalam bilik. 

Mungkinkah Baginda  tetap tersenyum?

Barang kali kita akan memindahkan lafaz ALLAH dan MUHAMMAD yang berada di ruangan samping atau mungkin kita tidak tahu ada di mana untuk kita letakkan di ruangan tamu. 

Mungkinkah Baginda masih tersenyum?

Bagaimana bila kemudian baginda bersedia untuk menginap di rumah kita? 

Barangkali kita teringat pula bahawa anak kita lebih hafal lagu barat daripada menghafal selawat kepada Rasulullah SAW. 
Barang kali kita menjadi malu bahawa anak-anak dan isteri tidak mengetahui sedikitpun tentang sejarah Rasulullah SAW kerana kita lupa dan lalai dari mengajari mereka.

Mungkinkah Baginda tetap tersenyum?

Barangkali kita menjadi malu kerana terlintas bahawa anak kita tidak mengetahui satupun nama keluarga Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya tetapi lebih hafal diluar kepala mengenai anggota Power Rangers atau nama artis. 
Barangkali kita harus membuat satu bilik menjadi ruangan untuk solat. 
Barangkali juga kita teringat wanita di rumah kita tidak memiliki koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan Rasulullah SAW.

Mungkinkah Baginda terus tersenyum?

Belum lagi koleksi buku-buku dan majalah kita dan anak-anak kita. Belum lagi koleksi karaoke kita dan anak-anak kita. Kemana kita harus menyingkirkan semua koleksi tersebut demi menghormati junjungan kita? 

Barangkali kita menjadi malu jika diketahui Rasulullah SAW bahawa kita tidak pernah ke masjid meskipun suara azan begitu jelas dalam pendengaran kita.

Masihkah Baginda tetap tersenyum?

Barangkali kita menjadi malu pada saat waktu Maghrib, keluarga kita menjadi sibuk dengan TV. 
Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh waktu kita dengan mencari kesenangan duniawi. 
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita tidak pernah menjalankan solat sunat. 
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita sangat jarang membaca Al-quran. 
Barangkali kita menjadi malu kerana kita tidak mengenal jiran-jiran kita. 


Bayangkan...

Apabila Rasulullah SAW tiba-tiba muncul di depan pintu rumah kita.......Apa yang akan kita lakukan? 

Masihkah kita memeluk baginda dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita?

Ataukah akhirnya dengan berat hati, kita akan menolak baginda berkunjung ke rumah kita kerana hal itu akan membuat kita berasa payah dan malu?

Maafkan kami ya Rasulallah.......

Masihkah baginda tersenyum?

Senyum pilu, senyum sedih dan senyum getir.....betapa memalukan kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah SAW.

Kita sangat mengharapkan Syafaat baginda pada saat kita terombang ambing dipadang mahsyar kelak, padahal kita jarang sekali menyebut namanya. Keadaan kehidupan kita sangat jauh dari yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Wahai  sahabat-sahabat sekalian, walaupun tanpa kehadiran Rasulullah SAW di rumah kita, yakinilah bahawa segala kehidupan kita berada dalam penglihatan ALLAH SWT. Tidak ada yang luput dari penglihatanNya. Jika kita fikirkan balik, betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita. Berbagai keistimewaan yang dipinta dari Allah untuk kemudahan ummatnya di dunia dan di akhirat. Jadi apalah kiranya kita berselawat untuk baginda, mencontohi akhlak baginda serta berpegang pada sunnah baginda... Itulah tandanya kita sayang pada baginda.. Sama-samalah kita amalkan..insyaAllah, moga kita semua beroleh syafaat darinya.

:: Ubah Persepsi; Mantap Kendiri ::

Wednesday, January 6, 2016

Perjalanan Itu Pengetahuan

اللهم صلي على سيدنا محمد و على اله و صحبه و سلم

Alhamdulillah...
dengan izin Allah, aku kembali di ruangan ini..
Mudah-mudahan ada manfaatnya.


Bismillahirrahmanirrahim......
Dengan Nama Allah, aku memulakan perjalanan ini...
Dengan berniatkan untuk "taqarrub ilallah"
Mudah-mudahan perjalanan ke bumi anbiya' ini dapat menambahkan kecintaan kepada Allah dan Rasul-RasulNya.

Sungguh 'berjalan-jalan' itu seronok..
Namun penghayatan dan ibrah daripadanya adalah lebih menyeronokkan.

Langkah perjalanan yang sedikit ini mengingatkan aku kepada tokoh-tokoh Islam yang agung. Sedikit berjalan, bergunung ilmunya. Semakin jauh berjalan, semakin melaut manfaat dari ilmunya yang masih menjadi rujukan hingga kini.

Ibrah dari perjalanan ini, insyaallah akan aku kongsikan satu persatu di sini. Setidak-tidaknya, menjadi ingatan untukku pada hari nanti.

Sampai jumpa...