Saturday, June 28, 2008

MUNGKIR JANJI


Saya sebenarnya agak tertarik dengan artikel yang dimuatkan di dalam Mastika yang saya sendiri tak berapa pasti keluaran yang keberapa dan pada tahun bila. Yang pasti, intipatinya telah menambat hati saya dan ingin saya kongsikan pada mereka yang tak berkesempatan membacanya. Isinya lebih kurang begini…

‘Sungguh sakitnya hati bila janji dimungkiri. Bayangkanlah jika anda telah membuat temu janji dengan seseorang, ataupun yang paling mudah kekasih anda sendiri. Anda telah menetapkan waktunya iaitu pada hari dan waktu yang sekian dan sekian. Janji pun termeterai. Maka pada hari yang ditetapkan, anda datang pada waktu yang telah dijanjikan. Alangkah malangnya, orang yang ditemu janji masih tidak kunjung tiba. Anda masih boleh menunggu. Maka anda menunggu dengan hati yang penuh sabar. Dari 5 minit ke 10 minit, dari 10 minit ke setengah jam, kemudian hingga ke satu jam. Anda mula naik berang. Dalam hati mula menyumpah-nyumpah. Dan anda tetap menanti kerana anda sangat merinduinya atau anda mempunyai urusan penting dengannya atau anda ingin memberi sesuatu kepadanya. Dengan itu anda sanggup menahan rasa marah dan memilih untuk terus menanti hingga orang yang dijanjikan tiba. Masa pun berlalu dari 2 jam membawa kepada 3 hingga 4 jam. Akhirnya kemampuan anda untuk menunggu pun tamat. Anda pun berlalu pulang dengan beribu perasaan yang bercampur baur. Perasaan kesal, marah, sakit hati, benci, sedih dan sebagainya…’

Perkara ini diumpamakan dengan kehidupan dan kewajipan kita seharian. Semasa di alam roh, kita sudah bertemu janji dengan Tuan kita bahawa kita akan berjumpa denganNya 5 waktu pada setiap hari iaitu pada waktu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Malangnya, apabila kita sudah lahir ke dunia, kita memungkiri janji tersebut. Pada waktu subuh menjelang, kita sedang lena di buai mimpi. Tuan kita menanti kita dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kerana dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kita lebih selesa untuk menyambung tidur yang enak dari menyambut seruan Tuan kita. Tuan kita tetap menanti kehadiran hamba-hambanya walaupun waktu terlalu lewat kerana Dia sangat merindui kita dan ingin mendengar rintihan kita kepadaNya. Dia ingin sekali memberi dan memakbulkan segala permintaan hambanya. Namun, alangkah kecewanya kerana sehingga habis waktu subuh kita masih lalai dan lupa dengan temu janji yang telah dibuat. Tibalah pula waktu Zohor. Tuan yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani kembali menanti hamba-hambanya. Dia ingin mengampunkan kesilapan hambanya yang lepas dan menerima taubat jika hambanya itu meminta maaf padanya. Namun, hamba yang tidak sedar diri terus kekal leka. Padahal, Tuan yang baik hati itu menunggu dan terus menunggu…

Di manakah kita? Adakah kita diantara orang-orang yang memungkiri janji? Sedarkah kita dengan siapa yang kita khianati itu? Wajarkah kita mengkhianati janji Dia yang tidak pernah melupakan kita? Dia yang sentiasa mengingati kita dan memberi segala nikmat di dunia untuk kesenangan dan kebahagiaan kita; yang memberi kesusahan sebagai rencah asam garam dalam hidup agar kita tak bosan dengan kehidupn yang pendek ini, agar tidak lupa kepadanya, agar kita merintih dihadapannya dengan penuh pengharapan…

No comments: