Tuesday, September 7, 2010

PENGHAYATAN SYAWAL

Ramadhan telah meninggalkan kita,

Syawal menjelang menandakan hari raya,

Kehidupan biasa bermula semula,

Ramadhan hadapan belum tentu kita jumpa..


Apabila tirai Ramadhan berlabuh, menjelanglah pula Aidilfitri. Begitu hebat sambutannya pada setiap tahun. Semakin bertambah tahun, semakin rancak aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk persediaan raya.


Namun, di mana penghayatan sebenar Aidilfitri?


Jika kita lihat pada hari ini, berbagai ragam dan gaya yang ditampilkan untuk menghidupkan dan memeriahkan suasana hari raya. Ia bukan sahaja dari sudut pemakaian dan pemakanan yang bermacam rupa dan beraneka jenis, tetapi melibatkan juga aktiviti-aktiviti harian masyarakat, rancangan yang disajikan di televisyen dan radio dan bermacam-macam lagi.


Kelangsungan perkara-perkara tersebut yang berlaku secara berlebih-lebihan menyebabkan ramai masyarakat yang lupa tentang erti sebenar Aidilfitri. Bagi anak-anak yang masih kecil pula, fikiran mereka telah dicemarkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah sekali gus membuat mereka buta untuk melihat pengisian yang sebenar dalam menyambut Aidilfitri.


Apakah tujuan kita menyambut Aidilfitri?


Aidilfitri atau panggilan biasanya hari raya merupakan hari kemenangan bagi setiap muslim yang telah berjaya mendidik diri dan nafsunya pada bulan Ramadhan. Hari raya juga merupakan hari untuk kita bersyukur kepada Allah s.w.t dengan sebanyak-banyaknya setelah kita diberi kesempatan dan keizinan untuk beribadah dan hidup sehingga akhir Ramadhan yang di mana di dalam bulan Ramadhan itu terdapat banyak kelebihan dan kenikmatan yang Allah janjikan bagi hambanya yang bertaqwa.


Sayugia selepas mengetahui bahawa hari raya itu adalah untuk orang yang berjaya, maka koreksilah pula diri masing-masing. Layakkah kita pada hari ini untuk menyambut hari raya? Hari raya hanya untuk orang-orang bertaqwa, yang berjaya melepaskan diri mereka dari dibelenggu oleh nafsu sendiri yang lebih cenderung untuk melakukan kejahatan dari kebaikan.


Maka untuk meraikan kemenangan kita, ia adalah dengan banyak mengucapkan syukur, bertakbir, bertasbih dan bertahmid juga memuji Ilahi dengan sebanyak yang mungkin. Di hari ini juga kita bermaaf-maafan antara sesama muslim bagi menyucikan hati dan membina peribadi, membuang sifat dendam dan persengketaan supaya tali persaudaraan sentiasa kukuh.


Tetapi bagaimana sambutan hari raya di kalangan masyarakat kita pada hari ini? Bacaan takbir di masjid-masjid tidak meresap ke dalam sanubari. Takbir yang dilaungkan bukan takbir kemenangan yang dapat dirasakan malah lesu dan tidak bermaya. Ia menunjukkan ketewasan kita untuk melawan nafsu sendiri di bulan Ramadhan. Puasa yang dilakukan tidak dapat mentarbiyyah diri melainkan lapar dan dahaga semata.

Ketewasan itu dapat kita lihat dengan nyata melalui cara kita meraikan hari raya. Pada hari ini, penghayatan terhadap hari raya sangat memilukan. Hari raya telah dinobatkan sebagai hari bergembira, lalu seluruh masyarakat menyambutnya dengan kegembiraan semata. Tiada lagi keinsafan yang dapat dirasakan setelah gagal memenuhi tuntutan Ramadhan yang sebenar.


Masyarakat lebih mementingkan baju raya daripada sembahyang raya. Masyarakat juga ghairah dengan makanan yang lazat-lazat sementelah sebulan tidak menjamah makanan pada siang hari. Anak-anak kecil pula telah dididik untuk mengumpul duit raya. Maka bagi mereka, hari raya adalah hari untuk mengumpul wang dari rumah ke rumah.


Rancangan di televisyen dan radio tidak kurang juga hebatnya. Masing-masing berlumba untuk meraih minat penonton. Namun, penghayatan yang disiarkan hanyalah sekitar kesedihan menunggu anak pulang ke kampung. Yang lainnya hanya untuk memberikan kegembiraan di hari raya dengan lawak-lawak bodoh dan kotor.


Paling menyedihkan apabila televisyen menyiarkan sambutan raya dengan pertandingan nyanyian yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tidak kira tua ataupun muda. Rancangan tersebut bukan sahaja merosakkan penghayatan raya yang sebenarnya, malah menunjukkan masyarakat kini yang sudah hilang rasa malu. Orang-orang tua bergelek di atas pentas lagaknya seperti muda sambil memekakkan telinga daripada panggilan kubur. Manakala yang muda, menghilangkan maruah mereka dengan pakaian-pakaian yang tidak sempurna.


Kita seharusnya sedar bahawa hari raya yang sebenarnya mengingatkan kita kepada fitrah kita yang mulia. Kita sebagai khalifah di muka bumi, harus memakmurkan bumi ini dengan hukum-hukum tuhan. Sudahkah Tuhan dibesarkan di dalam jiwa, fikiran dan di dalam setiap perbuatan kita? Setelah itu, barulah jiwa kita merasai kebahagiaan dan kedamaian dengan rasa tauhid di hati. Bukan dengan kegembiraan dunia yang sementara.


No comments: