Saturday, February 13, 2016

LUQMAN AL-HAKIM

Luqman al-Hakim, nama seorang hamba Allah s.w.t yang sering menjadi sebutan dari bibir ke bibir. Kebijaksanaannya sebagai seorang ayah membimbing anaknya menjadi pedoman kepada semua manusia sehinga Allah s.w.t mencantumkan namanya dalam al-Quran – surah Luqman (QS 31)

Dahulu kala, ada seorang raja yang bercita-cita ingin memahami semua bahasa binatang dari yang paling kecil hinggalah kepada yang paling besar – dari sekecil semut hinggalah sebesar gajah.

Pada suatu ketika, raja itu mendapat ilham untuk bertafakur di dalam laut. Baginda kemudian membina bilik kecil dari kaca berbentuk empat segi. Di bahagian atasnya ditebuk lubang supaya udara dapat masuk.

Setelah selesai membuat bilik kecil itu, baginda masuk kedalamnya lalu dibawa ke laut. Bilik itu dibenamkan ke dalam laut, hanya tinggal corong angin saja pada permukaan laut.

Di atas corong itu diletak sebuah loceng. Bila baginda menarik tali loceng, bunyi loceng itu menandakan bahawa bilik itu perlu dinaikkan, bermakna tafakur baginda sudah selesai.

Demi memenuhi cita-citanya, baginda tidak makan dan minum. Pada suatu ketika, raja berasa seram kerana dari luar bilik dilihatnya tangan manusia tetapi baginda tidak nampak badannya. Tangan itu masuk ke dalam tanpa setitik air pun membasahi bilik kaca itu.

Baginda juga mendengar suara mengatakan, “Ambilah ini dan buatlah makanan dan makanlah, nescaya apa hajatmu akan berhasil”.

Raja bersyukur, gembira serta berterima kasih atas pemberian itu, yakni sebuah bungkusan yang berisi tepung. Sekelip mata, tangan itupun lenyap.

Setelah kembali di istana, baginda menyuruh tukang masaknya membuat roti daripada tepung itu dan baginda tidak berpesan apa-apa lagi.

Setelah tukang masak mendapat perintah, maka disegerakan tugas itu. Setelah roti selesai dimasaknya, lalu diletakkannya di dalam almari makan, sementara menunggu untuk dihidangkan apabila raja itu mahu bersantap.

Tukang masak itu mempunyai seorang anak lelaki bernama Luqman. Anak ini cerdas akalnya dan pandai menulis. Ketika tengahari, Luqman pulang dan merasa lapar. Ketika membuka almari, dia melihat roti yang baru dimasak. Tidak ada makanan lain dalam almari itu. Tanpa berfikir panjang dan kerana terlalu lapar, Luqman memakan roti itu sampai habis, sedikit pun tidak tersisa.

Setelah tukang masak itu memeriksa almari makanan itu, didapati roti yang sudah dimasaknya itu telah tiada. Dia begitu cemas dan takut lalu bertanya kepada Luqman.

Siapakah yang memakan roti itu? Tanyanya.

Terus terang Luqman menjawab, dialah yang memakan roti itu. Tanpa berkata apa-apa, tukang masak itu memasak roti baru untuk dihidangkan kepada raja.

Setelah tiba waktu makan malam, tukang masak itu menghidangkan roti itu. Dengan senang hati baginda mengucapkan terima kasih kepada tukang masak itu. Tidak salah lagi dalam fikirannya, pada malam itu baginda akan dapat memahami bahasa binatang sebagaimana Nabi Sulaiman a.s.

Tukang masak tidak memberitahu kepada baginda bahawa roti yang dimakannya itu bukanlah daripada tepung yang diberikannya.

Setelah selesai makan, baginda pergi ke kandang kuda. Pada fikirannya, pada hari itu, sudah pasti baginda akan dapat memahami bahasa kuda. Setelah sampai ke kandang kuda, baginda hairan dan terpinga-pinga. Baginda masih tidak dapat mengerti bahasa kuda.

Apakah tangan yang memberi tepung kepadanya ketika brtafakur di dasar laut itu berbohong? Tidak mungkin. Baginda pergi pula ke kandang kambing, namun baginda masih tidak memahami bahasa kambing.

Kemudian baginda memanggil tukang masak dan bertanya mengenai tepung itu. Dengan terus terang tukang masak memberitahu bahawa roti yang dibuat daripada tepung yang diberikan baginda telah dimakan oleh anaknya.

Baginda tidak murka, sebaliknya berfikir. Ia bukan salah tukang masak itu. Baginda berasa dirinya yang bersalah kerana tidak berpesan apa-apa kepada tukang masak itu.

Pada fikiran baginda, usahanya itu tidak sia-sia kerana ada seorang anak dari keluarga istana dapat memiliki ilmu itu. Berikutan itu, baginda begitu sayang kepada Luqman dan berharap Luqman akan menjadi anak yang berguna.

Sejak kecil hingga remaja, Luqman menempuh pelbagai pengalaman yang berharga. Selain dari binatang-binatang yang dicatat berkhasiat untuk ubat-ubatan, pelbagai tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat tertentu untuk perubatan.

Demikian sejarah ringkas Luqman, yang kemudiannya mendapat gelaran al-Hakim. Namanya terkenal sehingga ke hari ini sebagai manusia yang bijaksana dan disebut di dalam al-Quran sebagai seorang bapa yang bijaksana dalam mendidik anak-anaknya.

Surah Luqman ayat 13-19 yang bermaksud:
‘Dan ingatlah … tatkala Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu ia memberi nasihat kepadanya: wahai anakku, janganlah sekali-kali engkau mempersekutukan Allah s.w.t (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar’.

‘Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungkannya dengan kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya dalam masa 2 tahun; bersyukurlah kepada Tuhan ke atas kedua-dua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali.

‘Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya mempersekutukan Tuhan dengan sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihat engkau – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu. Kemudian, kepada Akulah tempat kembali kamu sekalian, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan’.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata):
‘Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada suatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan di bawa oleh Allah s.w.t (untuk dibicarakan dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah s.w.t amat halus pengetahuanNya, lagi amat meliputi dan lagi amat tersembunyi’.

‘Wahai anakku, dirikan solat, dan suruhlah (manusia) berbuat kebajikan, serta laranglah mereka melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya’.

‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana engkau memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan d bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah s.w.t tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong dan takbur, lagi membangga diri’.

‘Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkan suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai’.[1]

Monday, January 11, 2016

Seandainya....

Seandainya...

Kita rindukan Rasulullah,
Tentu seringkali hati dan fikiran kita berlayar kepadanya.

Seandainya...

Benar kita cintakan Rasulullah,
Tentu tingkahlaku kita tidak lepas dari sunnahnya.
Tentu lidah tidak kering dari selawat ke atasnya.

Seandainya...

Rasulullah bersama kita............

Bayangkan seandainya  Rasulullah SAW tiba-tiba mengetuk  pintu rumah kita...
Baginda datang dgn wajah tersenyum dan muka bersih di muka pintu rumah kita. 

Apa yang kita akan lakukan?
Mestinya kita akan sangat berbahagia, memeluk baginda erat-erat, lantas mempersilakan baginda masuk rumah kita. 
Kemudian kita tentunya akan meminta  dengan sangat agar baginda sudi menginap beberapa hari di rumah kita. 

Baginda tentu tersenyum...

Tapi..... 

Barang kali kita minta kepada Rasulullah SAW untuk menunggu sebentar di depan pintu. Tatkala itu, kita teringatkan VCD rated 18+ yang ada di ruangan televisyen dan kita tergesa-gesa memindahkan dahulu video tersebut ke dalam bilik. 

Mungkinkah Baginda  tetap tersenyum?

Barang kali kita akan memindahkan lafaz ALLAH dan MUHAMMAD yang berada di ruangan samping atau mungkin kita tidak tahu ada di mana untuk kita letakkan di ruangan tamu. 

Mungkinkah Baginda masih tersenyum?

Bagaimana bila kemudian baginda bersedia untuk menginap di rumah kita? 

Barangkali kita teringat pula bahawa anak kita lebih hafal lagu barat daripada menghafal selawat kepada Rasulullah SAW. 
Barang kali kita menjadi malu bahawa anak-anak dan isteri tidak mengetahui sedikitpun tentang sejarah Rasulullah SAW kerana kita lupa dan lalai dari mengajari mereka.

Mungkinkah Baginda tetap tersenyum?

Barangkali kita menjadi malu kerana terlintas bahawa anak kita tidak mengetahui satupun nama keluarga Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya tetapi lebih hafal diluar kepala mengenai anggota Power Rangers atau nama artis. 
Barangkali kita harus membuat satu bilik menjadi ruangan untuk solat. 
Barangkali juga kita teringat wanita di rumah kita tidak memiliki koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan Rasulullah SAW.

Mungkinkah Baginda terus tersenyum?

Belum lagi koleksi buku-buku dan majalah kita dan anak-anak kita. Belum lagi koleksi karaoke kita dan anak-anak kita. Kemana kita harus menyingkirkan semua koleksi tersebut demi menghormati junjungan kita? 

Barangkali kita menjadi malu jika diketahui Rasulullah SAW bahawa kita tidak pernah ke masjid meskipun suara azan begitu jelas dalam pendengaran kita.

Masihkah Baginda tetap tersenyum?

Barangkali kita menjadi malu pada saat waktu Maghrib, keluarga kita menjadi sibuk dengan TV. 
Barangkali kita menjadi malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh waktu kita dengan mencari kesenangan duniawi. 
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita tidak pernah menjalankan solat sunat. 
Barangkali kita menjadi malu kerana keluarga kita sangat jarang membaca Al-quran. 
Barangkali kita menjadi malu kerana kita tidak mengenal jiran-jiran kita. 


Bayangkan...

Apabila Rasulullah SAW tiba-tiba muncul di depan pintu rumah kita.......Apa yang akan kita lakukan? 

Masihkah kita memeluk baginda dan mempersilakan baginda masuk dan menginap di rumah kita?

Ataukah akhirnya dengan berat hati, kita akan menolak baginda berkunjung ke rumah kita kerana hal itu akan membuat kita berasa payah dan malu?

Maafkan kami ya Rasulallah.......

Masihkah baginda tersenyum?

Senyum pilu, senyum sedih dan senyum getir.....betapa memalukan kehidupan kita saat ini di mata Rasulullah SAW.

Kita sangat mengharapkan Syafaat baginda pada saat kita terombang ambing dipadang mahsyar kelak, padahal kita jarang sekali menyebut namanya. Keadaan kehidupan kita sangat jauh dari yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Wahai  sahabat-sahabat sekalian, walaupun tanpa kehadiran Rasulullah SAW di rumah kita, yakinilah bahawa segala kehidupan kita berada dalam penglihatan ALLAH SWT. Tidak ada yang luput dari penglihatanNya. Jika kita fikirkan balik, betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita. Berbagai keistimewaan yang dipinta dari Allah untuk kemudahan ummatnya di dunia dan di akhirat. Jadi apalah kiranya kita berselawat untuk baginda, mencontohi akhlak baginda serta berpegang pada sunnah baginda... Itulah tandanya kita sayang pada baginda.. Sama-samalah kita amalkan..insyaAllah, moga kita semua beroleh syafaat darinya.

:: Ubah Persepsi; Mantap Kendiri ::

Wednesday, January 6, 2016

Perjalanan Itu Pengetahuan

اللهم صلي على سيدنا محمد و على اله و صحبه و سلم

Alhamdulillah...
dengan izin Allah, aku kembali di ruangan ini..
Mudah-mudahan ada manfaatnya.


Bismillahirrahmanirrahim......
Dengan Nama Allah, aku memulakan perjalanan ini...
Dengan berniatkan untuk "taqarrub ilallah"
Mudah-mudahan perjalanan ke bumi anbiya' ini dapat menambahkan kecintaan kepada Allah dan Rasul-RasulNya.

Sungguh 'berjalan-jalan' itu seronok..
Namun penghayatan dan ibrah daripadanya adalah lebih menyeronokkan.

Langkah perjalanan yang sedikit ini mengingatkan aku kepada tokoh-tokoh Islam yang agung. Sedikit berjalan, bergunung ilmunya. Semakin jauh berjalan, semakin melaut manfaat dari ilmunya yang masih menjadi rujukan hingga kini.

Ibrah dari perjalanan ini, insyaallah akan aku kongsikan satu persatu di sini. Setidak-tidaknya, menjadi ingatan untukku pada hari nanti.

Sampai jumpa...

Sunday, September 11, 2011

Berita Baik!! Beli Akal..!




Smart Excel Consultant sedang dalam proses penyeliaan dan penyediaan sumber rujukan terbaru untuk orang ramai.

NEW BRAND SESSION yang membentangkan Modul Pembelajaran Pantas Melalui Aktiviti Kaedah NLP dan Skrip Hipnosis dapat membantu anda bagi yang sedang mencari idea untuk membuat aktiviti dan program, ingin mengawal emosi dengan baik, mahu meningkatkan prestasi diri dan keluarga dan bermacam-macam lagi..


What is NLP pula membantu anda untuk memahami apa itu NLP secara santai dan mudah. Sangat bermanfaat kepada sesiapa yang inginkan kecemerlangan di sekolah atau universiti, mahu melonjakkan prestasi diri, meningkatkan keyakinan diri dan beberapa lagi kaedah NLP yang boleh dipelajari secara pantas.

Apa-apa maklumat dan pertanyaan boleh berhubung dengan En Mustaqiim Asmuji di talian 0361894034 atau 0192044036 atau boleh layari www.smartexcelconsultant.com

Saturday, September 10, 2011

IKTIBAR DARI SEBATANG PENSEL





Pernah seorang anak lelaki bertanya kepada ibunya yang sedang menulis,

"Apa yang sedang ibu tulis? Adakah ibu menulis tentang sesiapa, atau ibu menulis tentang pengalaman ibu?"


"Apa yang ibu tulis, itu tidak penting. Yang lebih penting adalah pensel yang ibu gunakan untuk menulis ini".

"Apa yang istimewa tentang pensel ini, ibu?" tanya si anak.

"Ibu berharap agar hidupmu menjadi seperti pensel ini. Walaupun ia hanya sebatang pensel, namun ia mempunyai 5 nilai yang boleh kita pelajari daripadanya. Mahu tahu?"

"Ya, ibu"




Pertama:
Pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, pensel, ada tangan yang memegangnya untuk bergerak. Maka ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu. Dialah Allah s.w.t yang akan selalu membimbing kita mengikut kehendaknya.

Kedua:
Ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Ibu terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita kerana diraut, tetapi hasinya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga:
Pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadam dan membetulkan tulisan itu semula. Begitulah yang ibu harapkan kepada anak ibu, sentiasa memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.



Keempat:
Tahukah anak ibu, mana yang lebih penting, luar atau isi pensel ini? Sudah tentulah arang atau karbon di dalamnya yang lebih penting. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik di dalam diri kamu dan hindarilah.

Kelima:
Pensel ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga dengan kamu. Apa saja yang kamu lakukan, pasti akan meninggalkan kesan sama ada pada diri kamu atau orang lain. Ibu harap supaya kamu selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Demikianlah wahai anak, iktibar dari sebatang pensel...

Friday, September 9, 2011

Makanan Berpantang



Amboi, hebatnye tajuk... Macam pernah berpantang je ye si penulis ni.. ha ha ha dan ha..

Bukan ape, sejak menjadi baby sitter + mak bidan + driver ni, ade la tau sikit-sikit tentang makanan waktu pantang ni.. Bila tengok di internet pun, tak banyak menerangkan secara ilmiah macam yang aku dapat dari doktor..hehe

Okeh, lets share information!!

Secara amnye, banyak makanan yang tak boleh di makan semasa berpantang. Bukan saja-saja, tapi berpantang ni untuk elakkan daripada luka pada tempat yang berjahit, gatal-gatal atau bentan. Ada sesetengah orang yang tak kisah, pakai taram semua sekali makanan sebab dia kata tak ada apa-apa pun kalau makan. Kadang-kadang, effeknye memang tak keluar waktu sekarang ni, tapi berlaku pada akan datang especially masa tua seperti sakit-sakit badan, perut kembung macam orang mengandung padahal tak mengandung dan banyak lagi la..

Itu yang aku tau dari orang tua dan doktor la.. pendapat lain aku tak ade dengar lagi setakat ni.. huhuhu


Dari pengalaman aku yang tengah menjaga orang pantang ni, makanan yang dia tak boleh makan adalah seperti:
  • makanan yang sejuk-sejuk macam ais, ataupun buah yang sejuk seperti tembikai.
  • makanan yang berminyak (supaya rahim mudah kecut dan tidak jatuh)
  • makanan yang gatal macam ayam, daging, kekacang, ikan kembung dan lain-lain
  • makanan yang masam seperti jeruk, asam..

Dan makanan yang penting perlu ditinggalkan oleh ibu-ibu yang menyusukan bayinya untuk mengelakkan daripada sakit kuning (terutamanya untuk bayi sebelum 10 hari):
  • Lada hitam dan lada sulah
  • Halia
  • Kunyit
  • Jamu
Makanan tersebut antara faktor yang menyumbang kepada anak untuk mudah diserang penyakit kuning.





Antara makanan yang dimakan oleh orang yang aku jaga nih:
  • Bubur nasi (lebihkan air supaya mudah lawas dan mudah untuk buang air)
  • Sayur-sayuran dimasak air atau goreng dengan sedikit minyak seperti badam, lobak dll
  • Ikan bakar / ikan panggang / ikan masak steam
  • Sup ayam (tapi ayamnya tak dimakan, kuah je)
  • Kentang bakar
  • Biskut-biskut
  • Kurma dan madu
  • Jus oren, susu
Itulah antara makanan-makanan dia..



Dan sedikit tips untuk anak yang kuning:
  1. Banyakkan minum susu ibu
  2. Bagi makan sedikit madu ke mulut bayi
  3. Mandikan bayi dengan air rebusan daun belimbing buluh + daun sukun
  4. Elakkan memakai pakaian berwarna kuning
Tips untuk mempercepatkan penyembuhan luka:
  1. Makan pati ikan haruan
  2. Sapukan minyak belut pada tempat luka
  3. Berendam dengan air rebusan daun jambu (pastikan terkena pada tempat luka)

Ada juga doktor yang mengatakan "Tak apa kalau nak makan kekacang atau sebagainya, cuma sebelum tu cuba sedikit dulu, kalau rasa tak jadi apa-apa, boleh lah makan macam biasa".

Namun bagi aku, apa salahnya kalau berpantang dulu, sebulan je pun kan.. hehehe.. cakap pandai la sebab kau belum rasa!! haishhh..

Allahu a'lam~

Thursday, August 25, 2011

KEK BATIK @ DODOL MILO

Kadang-kadang ada orang bertanya, apa beza kek batik dan dodol milo? Kan same je rasanye... Bahan dia pun same aje..


Jika ditanya pada saya soalan itu, beza antara kek batik dan dodol milo adalah dari segi bahannya. Untuk membuat kek batik, kita akan menggunakan koko, telur dan susu cair, tapi tidak untuk dodol milo. Ok, kita tengok teruslah cara membuatnya dan lihat sendiri perbezaannya.. ^_^


KEK BATIK

Bahan Kek Batik:

- 1 paket milo (yang paling kecil)
- 1 tin susu cair (biasa guna f&n)
- 1 buku buttercup
- 1 cawan gula halus
- 1 biji telur ayam
- 1 sudu besar serbuk koko
- 1 paket biskut marie (original lagi sedap dari perisa koko)


Cara Membuat Kek Batik:

- Patahkan biskut marie kepada 2 atau 3 bahagian
- Cairkan buttercup di dalam periuk
- Masukkan semua bahan di atas setelah buttercup cair dengan sempurna
- Kacau dengan api yang kecil sehingga sebati dan pekat
- Bila dah pekat, tutup api dan masukkan biskut marie
- Kemudian, masukkan ke dalam loyang dan mampatkan
- Akhir sekali, masukkan ke dalam peti sejuk untuk keraskan




DODOL MILO

Bahan Dodol Milo:

- 1 paket milo (paling kecil)
- 1 buku buttercup
- 1 tin susu pekat (biasa guna f&n)
- 1 paket biskut marie (original)

Cara Membuat Dodol Milo:

sama dengan cara membuat kek batik




PERBEZAAN BAHAN:

Pada saya, saya lebih suka rasa dodol milo berbanding rasa kek batik. Rasa dodol milo tidak cepat muak sebab tak ada telur selain bahannya yang lebih simple dan mudah.


KAEDAH LAIN?

Ada sesetengah orang yang suka jika bekas potongan kek batik tu nampak cantik dan tersusun. Jadinya, dia menggunakan kaedah lain.

- Apabila bahan-bahan basah telah sebati dan pekat di dalam periuk, api di padamkan.
- Biskut marie tidak dicampur terus ke dalam bahan tersebut. Sebaliknya, disusun selapis demi selapis.
- Untuk lapisan yang bawah sekali, disusun biskut marie yang belum dipatahkan.
- Tuangkan adunan keatas biskut hingga rata
- kemudian susunkan pula biskut marie yang telah dipatah 2 atau 3 di atas adunan tadi
- Tuang kembali adunan di atas biskut yang telah disusun
- Begitulah dibuat sehingga kek batik atau dodol milo menjadi beberapa lapis.





Selamat mencuba!!