Saturday, November 7, 2009

Guna Akal Perangi Sifat Jahiliyyah



Bila dibincangkan soal masalah masyarakat di zaman ini, pasti tidak akan habis sehinggalah berakhirnya kejahilan masyarakat tentang agama yang sebenar-benarnya, Islam.

Telah banyak perbincangan yang dilakukan. Banyak juga usaha yang telah dijalankan oleh berbagai pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tetapi impaknya bagai patah tumbuh hilang berganti. Tidak berkesudahan. Alangkah tragisnya!

Sewaktu mendengar ceramah yang dibincangkan di televisyen, betapa pedihnya rasa dalam hati. Menitis air mata penyesalan dan keinsafan. Di mana kesedaran kita sebagai hamba Allah yang menapak di bumi pinjaman ini? Betapa tingginya ego kita melebihi kemampuan kita yang terbatas.

Daripada tulisan Sayid Qutb, beliau membandingkan sifat kejahiliaan yang ada pada zaman lampau dengan akhir zaman ini. Kekejaman yang berlaku kini adalah lebih dahsyat berbanding dahulu. Sebagai contoh, zaman dahulu, mereka hanya membunuh anak perempuan sahaja. Anak lelaki akan dipelihara dengan sebaiknya. Tetapi pada zaman kita ini, tidak kira lelaki atau perempuan, anak mereka dibunuh, dibuang tanpa rasa belas dan kasihan. Hatinya sudah tiada lagi rasa kasih terhadap zuriatnya sendiri, inikan pula hendak berkasih sayang sesama manusia yang lainnya.

Apakah yang cuba ditonjolkan oleh masyarakat kita sekarang ini? Adakah kita ingin menunjukkan bahawa kita lebih berkuasa dan lebih canggih dari mereka? Bukankah ini hanya membuka pekung sendiri? Ia menunjukkan bahawa kita adalah lebih jahil daripada masyarakat di zaman jahiliyah.

Kebanyakan masyarakat memang mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama. Mereka tahu dan percaya akan azab dari Allah s.w.t jika mereka melakukan perkara yang dilarang. Tetapi mereka menyalahgunakan pengetahuan yang mereka ada. Mereka tahu bahawa perbuatan zina itu adalah perbuatan yang dilaknat Allah, tetapi mereka masih melakukan perbuatan itu dengan alasan bahawa Allah itu Maha Pengampun. Jadi, apa salahnya mereka memuaskan nafsu mereka terlebih dahulu, selepas itu mereka boleh saja kembali dan bertaubat. Sangat mudah! Nauzubillai min zalik.

Berpandukan dari hadith Nabi s.a.w, baginda pernah ditanya tentang permasalahan yang sama. Seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi s.a.w dan bertanya tentang perbuatan zina. Apakah boleh dilakukan walau hanya sekali. Kemudian Nabi s.a.w bertanya, relakah kamu jika adik atau anak perempuanmu berzina? Tidak sekali-kali ya Rasulallah. Sukakah kamu jika kakakmu atau ibumu berzina? Tidak ya Rasulallah. Apakah kamu rela isterimu berzina? Tidak! Maka jawab Rasulullah s.a.w, Tidaklah mereka orang yang berzina denganmu itu melainkan mereka adalah adik, kakak, anak, ibu atau isteri kepada lelaki lain. Jadi janganlah kamu melakukan perbuatan yang terkutuk itu.

Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa perbuatan zina itu bukan sahaja dilaknat oleh Allah s.w.t, bahkan ia dibenci oleh manusia yang berakal. Maka, hanya manusia yang tidak berakal sahaja yang rela berbuat sedemikian.

Mengapa hilangnya nilai-nilai murni Islam di dalam diri seseorang penganut Islam? Ini disebabkan oleh kurangnya penghayatan mereka terhadap ajaran Islam itu sendiri. Ada juga yang hanya membawa nama Islam tetapi tidak melakukan apa yang dituntut dalam diri setiap penganutnya.

Harus diingati bahawa Islam itu di bawahnya 3 perkara. Pertama adalah mengakui di dalam hati bahawa kita adalah umat Islam. Kedua, menyebut dengan lisan dan yang ke tiga melakukan apa yang di tuntut oleh Islam dengan perbuatan. Jika tiada salah satu daripadanya, maka tidaklah ia sebenar-benar Islam.

Daripada kisah sahabat, apabila ditanya kepada mereka ‘bagaimanakah mereka dapat beriman dengan ajaran Islam dengan yakin dan taat tanpa terpengaruh dengan orang jahiliyah sedangkan orang-orang jahiliyah berada disekeliling mereka dan sentiasa menduga keimanan mereka’, dengan tegas mereka menjawab, ‘Itu kerana kami sedar bahawa Islam itu menumpang pada diri kami. Maka kami seharusnya menjaga diri kami kerana jika diri kami rosak, akan rosak jugalah nama Islam itu’. Subhanallah..

Kita lihat pula wajah masyarakat kita pada hari ini. Berbagai ragam dan gaya terhasil demi melaksanakan tuntutan modenisasi. Ianya semakin meruncing sehingga terbitlah berbagai-bagai istilah untuk Islam seperti Islam liberal, Islam hadhari dan sebagainya. Memetik kata-kata daripada Syed Yusuf al-Qardhawi, nama Islam itu tidak seharusnya di tokok tambah kerana kelak ia akan menimbulkan kekeliruan kepada orang banyak.

Di mana pula generasi kita yang bakal menjadi tunggak Negara, bangsa dan agama? Bukankah mereka seharusnya bersedia dari sekarang untuk bertempur di medan yang lebih mencabar? Masakan persiapan untuk menghadapi peperangan yang besar hanya dengan latihan yang dalam setahun dua? Salahuddin al-Ayubi berjaya menjadi ketua yang terunggul setelah berlatih hampir sepanjang hayat beliau!

‘Menurut seorang ulama’, untuk mengenal sesuatu bangsa itu, lihatlah kepada kaum mudanya’. Bagaimanakah kaum muda kita pada hari ini? Adakah cukup membanggakan untuk kita mengakui bahawa itulah corak bangsa kita?

Lihatlah program realiti tv kita hari ini. Sungguh rancak perjalanannya seiring dunia yang semakin pesat dan kian berkarat. Kebanyakannya tidak mendatangkan apa-apa faedah melainkan kerugian dan kerosakan semata. Ibu bapa pula cenderung untuk menjadikan anak mereka popular dan mengejar glamer. Ramai masyarakat yang telah membuang masa mereka dengan sia-sia iaitu dengan menatap hedonisme yang di sajikan. Apalah yang menggamit keseronokan para penonton? Apabila berlakunya maksiat secara terang-terangan, lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bersentuhan tanpa ada lagi rasa segan dan silu, bukan lagi menjadi satu tentangan dan kesalahan, malahan mendapat sorakan ramai. Paling sedih dan menjelikkan, apabila si ibu bergelek di hadapan orang ramai tampangnya seperti belum punya anak, bersenggol-senggolan dengan lelaki lain yang bukan muhrim, kemudian si suami yang dayus bersorak riang dan menepuk tangan dengan kencang tanda merestui dan menyokong perjuangan si isteri. Kasihan si anak yang masih kecil terkebil-kebil, cuba memahami situasi yang berlaku di hadapan mereka. Mencari buruk dan baik menggunakan otak kecil mereka. Di mana mereka campakkan perasaan mereka?

Masyarakat kini menjadi seolah-olah mati rasa. Perlakuan yang jelik juga dianggap biasa dan tidak menjadi suatu kesalahan pada diri mereka. Masing-masing sudah tidak dapat membezakan antara yang ma’ruf dan mungkar. Petikan dari cerpen Faisal Tehrani, “Pembaca tidak sedar tentang kemanusiaan yang diperingatkan, dan kebenaran yang diselitkan dipersetankan oleh pembaca. Manusia tidak pernah mahukan kemanusiaan. Pembaca tidak mahukan kebenaran. Mereka sukakan kepalsuan, pembohongan, fantasi, impian murah dan hiburan. Apa yang penting, hati berasa puas, kepala tidak bingung dan membaca karya pun lancar”.

Hal ini disebabkan oleh banyaknya percampuran antara yang hak dan batil di sekeliling kita. Perkara yang shubhah tidak lagi diambil kira dan dipandang enteng. Apakah inisiatif yang kita ambil untuk menempuh gejala-gejala ini? Siapa pula yang bertanggungjawab atas kerosakan ini?

Sedarlah bangsaku. Hidup di dunia ini tidak menjanjikan apa-apa kecuali nikmat yang sementara dan menipu semata-mata. Ingatlah bahawa neraka jahannam sentiasa menunggu tetamunya yang mana luasnya adalah seluas nafsu yang kita miliki. Tidak bertepi.

Jalan dakwah harus dipertingkatkan dan diislahkan supaya kita kuat untuk memerangi serangan-serangan yang datang yang jelasnya tidak membunuh jasad seseorang itu dari luar atau zahirnya, tetapi membunuh manusia secara perlahan-lahan dari dalam melalui jiwanya. Islam itu tetap akan bangkit walau kita tidak berusaha untuk mempertahankannya. Itu adalah janji Allah. Tetapi adakah kita ingin menjadi orang yang berjaya seperti yang dinyatakan di dalam Surah Ali-Imran, ayat 104. Tepuk dada, tanyalah iman.

Wallahu’alam.
Milenia Muslim, November 2009

Sunday, November 1, 2009

PROGRAM PELAJAR CEMERLANG

Program ini berlangsung dengan jayanya di Kompleks Sekolah Wawasan, USJ 15.
Walaupun program hanya berlangsung untuk 1 hari sahaja, namun impaknya sangat berkesan sama ada pada pihak kami ataupun pihak peserta.


Awal pembahagian peserta. Peserta dikehendaki duduk di dalam barisan panjang.




Peserta mendengar taklimat dengan penuh perhatian.




Aktiviti LDK dimulakan. Setiap fesi memberi penerangan kepada peserta mengikut modul yang telah disediakan.




Peserta kembar yang ceria...




Barisan peserta, guru dan fasilitator yang terlibat.


Diharapkan program yang serba ringkas ini akan ada kesinambungannya.
Terima kasih kepada subjek Dakwah Tatbiqi!
Praktis sebelum praktikal...