Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru...!

Pertama-tamanya, ucapan selamat hari guru kepada guru yang paling awal dalam hidupku, ibu bapaku. Tanpamu sebagai guru utamaku, tidaklah mampu ku kecapi kehidupan yang seperti ini pada hari ini. Sentiasa mendidikku dari seorang roh di dalam rahim ibu sehinggalah ke detik ini. Menjadi idolaku, sumber inspirasiku. Selamat hari guru mak dan abah..!

Seterusnya kepada guru-guru yang menjadi wasilah kesinambungan ilmuku dipupuk. Daripada Sekolah Tadika Yayasan Arqam Tadika Benut, kemudian singgah pula di Sekolah Kebangsaan Benut, disusuli Sekolah Menengah Tinggi Agama Maahad Pontian, diikuti Sekolah Menengah Agama Tinggi Maahad Johor, diselangi oleh MARSAH dan bukan yang terakhir, Universiti Sains Islam Malaysia.

Seterusnya selamat hari guru juga buat semua yang menjadi guruku secara tidak langsung. Termasuk juga sahabat-sahabatku. Tidak ku lupa pesan nabi yang bermaksud; sesiapa saja yang mengajarmu sesuatu walaupun hanya 'alif', maka dia adalah gurumu.

Dengan itu, kutitipkan sajak buat sekalian guruku...


Bisikan Hati Seorang Guru Tua

Di menara gading ini seorang guru tua
Menatang wajah ke awan biru
Melihat sandiwara hidup
Mengolak detik-detik khayalan
Kian terus membara
Penuh pahit
Penuh sengsara
Mencengkam anak-anak nan gagal mencipta
Memusnah membantut kreativiti anak-anak yang kurang bernasib ini
Berpusu-pusu bekerja melata apa saja
Cukup sekadar keperluan pakai, makan dan minum
Bukan apa!
Peningkatan ilmu yang dimamah
Tidak bisa menjadikan mereka selesa.

Di menara gading ini seorang guru tua
Menatang wajah ke awan biru
Mengharungi kepahitan terus-menerus
Tetapi bagi sekian lama pengorbanannya
Berdiri megah, berbaris segak ala tentera anak-anaknya
Bukan apa!

Ilmu di dada cukup sekadar membantu mereka
Mempertahankan agama, bangsa dan negara tercinta.

Di menara gading ini seorang guru tua
Menatang wajah ke awan biru
Kepinginan ia syurga impian dan idaman
Setelah sekian lama membasahi keringat
Muncul lagi anak-anaknya
Berjubah kemas segak
Berjaya melepasi tembok ini.

Terukir senyum kemenangan di wajah tua ini
Menara gagah itu menjadi saksi
Segala penat lelah
Menjernihkan bintik-bintik kejayaan
Menghapuskan ranjau derita
Ruang-ruang kepahitan terhapus sepi.
Kami tetap bersamamu
Jasamu dikenang
Ajaranmu menjadi panduan
Senyumanmu menggembirakan
Cebisan didikanmu menjadi pegangan
Bersemadi hingga akhir hayat.

No comments: