Tuesday, May 25, 2010

Alahai Imam Muda...


Seronok rasanya bila tengok ramainya orang yang datang untuk uji bakat menjadi imam muda. Datang dari seluruh pelusuk negeri. Ada juga yang awalnya berhasrat untuk ke tempat lain namun dibelokkan kakinya ke arah tempat uji bakat setelah dilihatnya banner uji bakat yg tergantung di laluannya. Fenomena ini menunjukkan masih ramai yang hatinya terikat dengan masjid, Alhamdulillah. Walaupun ramainya masih belum setanding dengan peserta uji bakat untuk nyanyian.

Masing-masing begitu bersungguh-sungguh sekali mencuba untuk menjadi yang terbaik. Memejamkan mata untuk mendapatkan 'feel', meminta untuk tidak berhadapan dengan penonton, dan tidak kurang juga yang gugup sehingga terlupa bacaan ayat dalam surah al-Fatihah.

Namun itu tidak menjadi sebarang hal. Yang agak terkilan, apabila melihat sikap beberapa orang peserta uji bakat yang seolah-olah tidak faham apa tujuan sebenar ia datang untuk uji bakat. Bukan kerana keterlupaannya di dalam bacaan surah, bukan kerana kesumbangan tarannum bacaan Quran, bukan kerana kepelatan di dalam membunyikan tajwid huruf dan bukan juga kerana berpakaian sekadar t-shirt dan seluar jeans. Tetapi disebabkan oleh egonya, atau dalam bahasa kasarnya, keangkuhan dan kesombongan dalam ilmu dan kebolehan yang dimiliki.

Datang dengan ilmu yang penuh didada, juga pakaian yang teramatlah smart kerana dia bukanlah calang-calang orang, tetapi berpengalaman tinggi dalam mengimami beratus orang, juga khatam hafazan Qurannya. Dengan penuh yakin melontarkan bacaan dihadapan juri, namun sayangnya 'not accepted'. Tidak menjadi pilihan juri.

Apalah kiranya kita menerima sesuatu keputusan dengan redha... Walaupun hati rasa sakit, namun fikirkan hikmahnya. Bukan dengan meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan cara yang tidak berhikmah. Apabila menentang sesuatu keputusan dengan mengungkit jasa, kebolehan, kehandalan dan pengalaman diri, itu agak tidak rasional dan sudah timbul perasaan ujub dan riyak. Dengan itu, nyata sekali langsung tidak berguna ilmu yang disebut-sebutkan itu.

Bak kata bonda: Kerana itu dia tiada takdir untuknya diterima sebagai calon. Tertolak oleh takabburnya.

Menjadi imam bukanlah sekadar sedap bacaan, bertajwid betul, penuh ilmu di dada dan bijak bercakap di khalayak. Bahkan ia perlu kembali ke asal maksud perkataan tersebut, imam (ketua). Selain mempunyai ciri-ciri tersebut, ia juga perlu menjadi contoh teladan yang baik, akhlak yang baik, yang dapat dikongsikan akhlak tersebut bersama makmumnya... Wallahua'lam...


Apapun, good luck kepada semua peserta Imam Muda yang terpilih. Terutama org Johor.. Hahaha...

Hidup imam muda! Yang veteran pun hidup jugak! peace. (^-*)v

No comments: