Monday, April 27, 2009

‘Partisipasi Akal dan Orang Muda’




Sehalusnya titipan semanisnya bicara, menyusun langkah memperbaiki kata, mencari asal embun bertitik, di helaian sutera kasih paling pasti…

Apabila berbicara tentang orang muda, kita bertanya pada diri sendiri siapakah orang muda itu? Dan apakah pula partisipasi orang muda di zaman ini?

Sahabat yang dirahmati Allah, siapakah orang muda itu? Adakah kita tergolong dalam golongan itu? Jika tidak, siapakah kita yang sebenarnya?

Bagi yang mempunyai akal fikiran yang waras, kita akan segera menyedari bahawa kita adalah orang muda itu. Kitalah yang masih mempunyai tenaga yang kuat. Kitalah yang mempunyai partisipasi yang tinggi dalam masyarakat kini. Kitalah yang bertanggungjawab atas kemajuan atau kemunduran masyarakat kita. Segalanya di atas bahu kita, ORANG MUDA.

Ada pepatah yang mengatakan bahawa “orang muda adalah pemimpin generasi nanti” yang membawa maksud orang muda adalah pemimpin masa akan datang. Saya sangat tidak bersetuju dan membangkang pepatah tersebut. Disebabkan pepatah itulah, remaja kita sekarang ini leka dengan kehidupan mereka yang sia-sia, menghabiskan waktu dan tenaga mereka dengan perkara yang tidak berguna. Mengapa? Ini kerana mereka berfikir bahawa mereka adalah pemimpin akan datang. Jadi, mereka tidak peduli dengan masa sekarang mereka dengan alasan pada waktu akan datang mereka akan terbeban dengan tugas yang berat. Maka, masa yang sekarang adalah masa untuk berseronok sebelum datangnya masa yang membebankan itu.

Jadi ingin saya tegaskan di sini bahawa orang muda bukanlah pemimpin generasi akan datang, tetapi pemimpin masa sekarang. Dari sekaranglah mereka perlu membentuk sahsiah diri mereka. Dari sekaranglah mereka perlu berlatih bagaimana untuk menjadi pemimpin yang berguna kepada masyarakatnya, menjadi pemimpin yang adil, menjadi pengikut yang bijak dan rasional.

Apa yang kita lihat sekarang, kehancuran berlaku melata di seluruh dunia, ini kerana kurangnya latihan, kurangnya ilmu dalam dada mereka kerana tidak pernah dipupuk dari sebelumnya tentang bagaimana untuk menjadi pemimpin yang baik. Mereka malah dilantik secara terdesak apabila masyarakat mereka dengan tiba-tiba memerlukan seorang pimpinan dari kalangan mereka, dan kebanyakan mereka pula dilantik bukanlah berdasarkan ilmu mereka, tetapi berlandaskan keturunan dan pengaruh mereka. Demikianlah yang terjadi disebabkan kemiskinan ilmu dikalangan manusia.

Di sinilah terletaknya partisipasi kita sebagai orang muda. Jika kita tidak mampu menjadi pemimpin, maka kita haruslah menjadi pengikut yang bijaksana. Jika pemimpin kita melakukan kebaikan, maka kita dukung perintahnya. Jika pemimpin kita melakukan kesilapan, kitalah yang wajib menegur mereka. Kitalah yang perlu bijak dan berani bersuara bagi menentang keburukan dan kemungkaran.

Perkara berani bersuara ini, memang mudah untuk disebut tetapi sangat sukar untuk dilaksanakan. Ia memerlukan peranan akal yang tinggi. Jadi, semailah ilmu sedalam-dalamnya, didiklah akal sebanyak-banyaknya dan pupuklah jiwa sebaik-baiknya. Semoga tanaman yang kita usahakan pada hari ini akan memberi hasil dan keberuntungan kepada kita pada hari kemudian.

Seterusnya yang ingin saya tekankan di sini adalah fungsi akal. Akal berfikir melangkah akan pergerakan insan yang meletakkan akal di tempat yang tinggi agar manusia dan haiwan itu berbeza. Beza dari mulia, bukan makhluk.

Apa yang dapat kita faham melalui falsafah tersebut? Ia menyatakan bahawa akal itu adalah tunjang utama bagi setiap manusia. Akallah yang menentukan dan mengatur gerak langkah manusia dan seterusnya memberi kesan kepada anggota zahir kita, juga kepada persekitaran kita. Melalui akal juga menjadikan manusia itu berbeza dan lebih mulia dari makhluk yang lainnya.

Demikianlah peranan akal yang sangat penting dalam kehidupan kita bukan sahaja di dunia, malah sangat bererti kesannya apabila tiba di akhirat kelak. Mengapa saya katakan begitu? Ini disebabkan oleh perbezaan darjat manusia dengan manusia yang lain juga disebabkan oleh akalnya.

Contoh dari aspek duniawi boleh kita lihat dengan jelas di zaman kita sekarang. Contohnya bagi pelajar yang cemerlang, mereka akan lebih kehadapan dan masyhur berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain. Kemudian, daripada kelulusan mereka yang lebih tinggi dari pelajar lain, jawatan mereka di dalam pekerjaan akan lebih baik dari mereka yang berkelulusan agak rendah.

Maka begitu juga halnya di akhirat kelak. Dari hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, pada suatu hari, Saidatina Aisyah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah, apakah yang membezakan seorang manusia itu dengan manusia yang lainnya? Maka Rasulullah s.a.w menjawab: Akalnya. Kemudian Aisyah bertanya lagi: Di akhirat pula, apakah yang membezakan antara manusia itu? Rasulullah s.a.w menjawab lagi: Akalnya. Kemudian Aisyah bertanya lagi: Bukankah beza manusia dengan manusia lainnya itu dengan amalan-amalan mereka? Jawab Rasulullah s.a.w: Bukankah amalan manusia itu ditentukan oleh akal mereka? Jika tinggi akal mereka, maka tinggi juga amalan mereka dan jika rendah akal mereka, maka akan rendah jugalah amalan mereka.

Dari hadith tersebut, jelaslah bahawa akal kita membawa peranan yang sangat penting bagi setiap manusia sama ada untuk kehidupan di dunia atau di akhirat.

Oleh itu, sedarkah kita di mana kedudukan kita sekarang dan apa tanggungjawab yang harus kita laksanakan? Apakah tindakan yang kita perlu buat seterusnya? Adakah kita masih ingin terus hidup di dalam mimpi yang tak sudah? Pepatah daipada Buya Hamka, ‘Kamu tidak akan sedar yang kamu bermimpi sehinggalah kamu terjaga; kamu tidak sedar yang dunia ini permainan sehinggalah kamu mati’.

Milenia Muslim, April

SITI SAIDATUN NAFISAH AB HAMID
Hewi PKPIM,
USIM

Gejala Sosial


Assalamualaikum

Saya terpanggil untuk mengirimkan pandangan saya mengenai isu ‘Menangani Gangguan Seksual’ setelah membaca majalah MILENIA bil.75 yang lepas. Saya amat bersetuju dengan langkah-langkah untuk menghadapi ancaman jenayah seksual yang telah dikemukakan oleh saudari Nurul Aini. Di sini, saya ingin menambah satu perkara yang kebanyakan orang lupa atau memang tidak ambil peduli dengannya.

Saya mulakan dengan suatu kisah:
“Ada seorang budak perempuan yang bersekolah di asrama penuh. Kehidupan keluarga budak perempuan itu sangat susah. Mereka tiada berkenderaan, dan gaji bapanya pula hanyalah cukup untuk menyara kehidupan keluarga dan menanggung pembelajaran anak perempuannya itu.
Pada setiap kali hendak pulang ke kampung, budak perempuan itu mesti terlebih dahulu menalifon ayahnya melalui jiran mereka di rumah dan memberitahu kepada ayahnya bahawa dia ingin pulang ke kampung. Maka selepas itu, ayahnya akan datang ke asrama dengan menaiki bas untuk menjemput anaknya pulang ke rumah. Begitulah juga ketika hendak kembali ke asrama, ayahnya akan menghantar anak perempuannya itu dengan menaiki bas sehinggalah sampai ke asrama, kemudian pulang semula ke rumah dengan menaiki bas”.

Persoalannya, apakah objektif yang diperolehi daripada kisah tersebut? Kisah itu pernah dikemukakan pada rakan-rakan saya di kelas. Kemudian, ditanya kepada mereka, apakah persepsi mereka mengenai budak perempuan itu. Ramai diantara mereka yang mengatakan bahawa budak perempuan itu adalah seorang anak yang manja, tidak pandai berdikari, menyusahkan ibu bapa, dan sebagainya…

Menerusi jawapan yang diberikan oleh rakan-rakan, dapatlah saya simpulkan bahawa pada zaman ini, ramai yang lupa dengan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘tidaklah harus bagi seorang perempuan itu berjalan pada sepanjang siang dan sepanjang malam kecuali bersamanya suaminya atau bersama mahramnya’. Dan disebabkan keterlupaan mereka ini, maka ramai perempuan sekarang yang berani keluar seorang diri tanpa berteman dan bermahram.

Perlu diingati bahawa apa yang disampaikan dan dipesan oleh Rasulullah s.a.w adalah peringatan daripada Allah. Allah lebih mengetahui dunia ini dan seisinya kerana Dia yang menciptakan. Jika undang-undang yang ditetapkan Allah itu diabaikan, maka banyaklah berlaku kerosakan di muka bumi seperti sekarang ini. Buatlah apa saja langkah keselamatan. Belajarlah seni mempertahankan diri seperti silat dan taekwandoo, letaklah cctv dimerata tempat, dan apa sahaja. Tetap tidak akan selesai selagi peraturan Tuhan tidak dipatuhi.

Oleh itu, berfikirlah wahai kaum sejenisku. Jika rasa diri masih jahil, tuntutlah ilmu, belajarlah lagi. Akhir sekali, pesanan buat semua; ‘Sesungguhnya Allah itu menghampiri kamu dengan ilmu. Maka kamu dekatilah Ia dengan akal. Jadikanlah hukum Allah sebagai pedomanmu, maka terhindarlah dari akal yang dangkal’.

Siti Saidatun Nafisah bt Ab Hamid,
HEWI,
USIM.

Milenia Muslim, Januari