Monday, June 30, 2008

KENAPA KITA DILAHIRKAN DI DUNIA?



Sedar2 saja, kita sudah dilahirkan ke dunia. Tiada siapa yang pernah meminta agar ia lahir kedunia. Dengan erti kata lain, tiada siapa dari kita yang terlebih dahulu yang merancang untuk datang sebelum ia didatangkan ke dunia.

Jadi, kita datang ke dunia tanpa tahu tujuan dan matlamat sebenarnya. Kita datang tanpa rancangan dan kemahuan terlebih dahulu, dan kita tidak tahu mengapa kita dilahirkan sebagai perempuan dan bukan lelaki atau sebaliknya.

Siapa yang merancang dan berkehendak untuk mendatangkan kita ke dunia ini? Apakah maksud Allah s.w.t mendatangkan kita ke dunia ini?

Hampir setiap orang bertanyakan soalan ini kepada akal dan hatinya, dan berbagai-bagailah jawapan yang diperoleh mereka, yang setiap seorangnya mempunyai jawapan yang berbeza. Hasil dari jawapan itu, maka hiduplah manusia ini dengan cara dan gaya masing-masing, mengikut jawapan yang diberikan oleh diri masing-masing.

Saksikanlah manusia yang mengisi berbagai-bagai ragam di dalam hidup mereka. Ada yang hidup untuk menuntut ilmu, mengkaji dan berfikir. Sepanjang hidupnya dihabiskan untuk menuntut ilmu, dari sebesar-besar benda hinggalah sekecil-kecilnya mereka meneliti dan mengkaji. Maka, berbagai-bagailah rahsia dunia tercungkil olehnya, seiring dengan botak kepalanya dan beruban rambutnya. Akhirnya, ia mati dengan meninggalkan segala ilmu itu…

Golongan lain pula hidup untuk harta dan kekayaan. Berburulah ia kemana sahaja di sudut-sudut dunia, untuk mencari harta, mendapatkannya dan menimbunnya setinggi yang boleh. Jadual dan program harian mereka, sepenuhnya disediakan untuk mencari harta hingga tiada masa untuk tujuan-tujuan yang lain. Akhirnya, mereka mati meninggalkan semua harta itu.

Ada juga yang hidup untuk nama dan kemasyhuran. Berjuanglah ia siang dan malam untuk menaikkan namanya agar terkenal dan disanjung. Sangguplah ia menipu dan menindas semata-mata untuk masyhur dan terkenal. Akhirnya, mereka mati dengan meninggalkan segala pujian dan sanjungan.

Terdapat juga orang yang hidupnya setakat makan, pakai, tidur, kahwin dan beranak pinak. Usaha-usahanya hanya untuk mendapatkan keperluan itu hinggalah matinya tanpa apa-apa erti.

Demikianlah manusia menjawab soalan-soalan apa tujuan hidup. Jawapan yang diberikan oleh akal dan nafsunya, lalu dilaksanakan oleh anggota lahirnya. Kita sebenarnya tidak tahu apakah hidup ini dan bagaimanakah untuk melaksanakan hidup ini. Yang mengetahui sebenarnya tujuan hidup ini agar selamat di dunia dan akhirat ialah Allah s.w.t.

Kita bertanya “Ya Allah, kenapa Engkau hidupkan dan datangkan aku ke dunia ini?” maka turunlah wahyu kepada Nabi s.a.w, memberitahu manusia mengapa mereka dihidupkan.

Pertama, firmannya yang bermaksud: "tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku semata-mata" (Az-Zariyat:56)

Yang ke dua, firmannya yang bermaksud: "sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur, yang Kami hendak mengujinya, (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat" (Ad-Dahru:2)


No comments: